top of page

Projek LTU di Gua Musang mungkin ditangguh sementara sebelum Syawal


Bulatan menghala ke Kampung Tanah Putih di Gua Musang sesak
Bulatan menghala ke Kampung Tanah Putih di Gua Musang sesak dengan kenderaan ketika waktu pagi dan waktu puncak. -Foto AIMUNI TUAN LAH/KOSMO!

KOTA BHARU – Polis Kelantan sudah mengadakan perbincangan secara tidak rasmi dengan beberapa pihak dalam usaha untuk menangguhkan kerja pemasangan cerucuk jambatan bagi pembinaan Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) Pakej 3B dan 3C buat sementara waktu menjelang Hari Raya Aidilfitri.


Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, setakat ini, Ketua Polis Daerah Gua Musang sudah berbincang dengan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Gua Musang mengenai perkara itu.


Menurutnya, perbincangan itu diadakan dalam usaha untuk mengelakkan laluan tersebut semakin sesak terutamanya dengan kemasukan kenderaan perantau pada Hari Raya Aidilfitri.



“Kita sudah berbincang secara tidak rasmi dengan JKR dan PBT untuk menghentikan pembinaan projek itu buat sementara waktu atau ada kaedah lain yang boleh digunakan sebelum Aidilfitri.


“Perbincangan di peringkat Ketua Polis Daerah Gua Musang sudah bermula dan saya sedang menunggu maklum balas mengenai perkara itu. Selepas menerima laporan, mungkin saya pula akan berbincang dengan Pengarah JKR negeri,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.


Mengulas lanjut, Muhamad Zaki memberitahu, buat masa ini, perkara itu masih di peringkat daerah dan tindakan lanjut akan dijalankan selepas memperoleh kata putus hasil perbincangan tersebut.


Menurutnya, laluan di Gua Musang sudah pasti akan sesak terutamanya semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri, namun polis sedang berusaha mencari jalan untuk mengurangkan kesesakan di kawasan tersebut.



“Polis tidak mampu merangka pelan sendiri tanpa bantuan pihak lain. Mungkin kaedah bekerjasama dengan pelbagai pihak (JKR dan PBT) dapat mengatasi masalah tersebut buat sementara waktu,” katanya.


Kosmo! sebelum ini melaporkan, dua laluan utama di Gua Musang mulai sesak apabila ditutup sepenuhnya pada 3 April untuk kerja pemasangan cerucuk jambatan bagi pembinaan LTU Pakej 3B dan 3C.


Jalan menghala ke bandar Gua Musang bermula dari bulatan Tanah Putih ke simpang Kampung Pulai dan Jalan Kesedar Putra mendapati, laluan tersebut sesak dengan kenderaan hampir setiap hari.


Bagaimanapun, pengguna jalan raya boleh menggunakan laluan alternatif FT008 melalui hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang, FT 2744 (hadapan Hospital Gua Musang) dan FT2746 (Jalan Pulai).


Sumber: Kosmo!


Comments


bottom of page