SHAH ALAM - Projek pembinaan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) dijangka siap sepenuhnya pada 28 Februari 2024.
Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, projek dengan jajaran sepanjang 37.8 kilometer itu menghubungkan penumpang dari koridor barat Lembah Klang dan pusat bandar raya Kuala Lumpur.
Katanya, pembinaan kini telah mencapai 33.12 peratus keseluruhan projek setakat 30 Jun lalu.
"Projek LRT3 bakal dimanfaatkan lebih dua juta penduduk di kawasan berkenaan dan akan mengendalikan kira-kira 67,000 penumpang sehari pada peringkat permulaan sebelum sistem rel urban ‘Greater Klang Valley’ siap sepenuhnya
“Selain mengurangkan kesesakan lalu lintas khususnya di Lebuhraya Persekutuan Kuala Lumpur–Klang sekarang, penyambungan jajaran LRT3, yang berintegrasi dengan laluan LRT Kelana Jaya di Stesen Glenmarie, turut menjadi sandaran sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi,” katanya di Majlis Pelancaran U-Girder Projek LRT3 dan Majlis Makan Malam Pengerusi Prasarana bersama media, di sini, malam tadi.
Turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Muhammad Nizam Alias dan Pengerusi MRCB George Kent Sdn Bhd Datuk Seri Dr Judin Abdul Karim.
Tajuddin berkata, projek LRT3 ini buat pertama kali menggunakan blok ‘U-trough girder’ iaitu, komponen pembinaan akan diprabina terlebih dahulu, di sebuah fasiliti di Bandar Saujana Putra sebelum dibawa ke tapak pelancaran.
Jelasnya, kaedah pembinaan ini dipilih kerana kos yang lebih efisien, tempoh kerja pembinaan yang lebih cepat, selain improvisasi terhadap impak visual.
“Secara keseluruhan, projek ini akan menggunakan sebanyak 2,060 unit ‘U-trough girder’ bagi melengkapkan jajaran berkenaan. Setakat ini, 158 unit sudah dibina dengan 24 unit telah dilancarkan dan dipasang,” katanya. - Bernama
Sumber: Sinar Harian
Commentaires