KUALA LUMPUR: Projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) kini berada dalam landasan untuk disiapkan menjelang 28 Februari 2024 dengan termeterainya Perjanjian Novasi hari ini.
Perjanjian itu dimeterai antara Prasarana Malaysia Bhd, MRCB George Kent Sdn Bhd (MRCBGK) dan sembilan kontraktor pakej kontrak kerja (WPC) dengan disaksikan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook dan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.
Dengan termeterainya Perjanjian Novasi itu membolehkan kontraktor WPC beralih kepada regim Kontrak Harga Tetap berbanding regim Rakan Pelaksana Projek (PDP) sebelum ini.
Pelaksanaan rejim Kontrak Harga Tetap itu menjadikan kos dikurangkan kepada RM16.63 bilion berbanding RM31.65 bilion sebelum ini dengan jumlah stesen dikurangkan kepada 20 berbanding 26 stesen pada awalnya.
Guan Eng berkata, pengurangan kos LRT3 itu adalah hasil perbincangan, rundingan dan usaha rasionalisasi yang dilaksanakan kerajaan Pakatan Harapan.
Beliau berkata, pengurangan kos itu membabitkan penjimatan sebanyak 47 peratus atau RM15.02 bilion.
"Saya ingin tegaskan bahawa penjimatan ini dicapai tanpa menjejaskan kualiti perkhidmatan dan keupayaan LRT3 untuk menampung keperluan harian dua juta warga kota sehingga 2042.
"Penjimatan ini berjaya dicapai kerana kerajaan sedar bahawa kapasiti asal LRT3 jauh melebihi keperluan semasa dan juga permintaan dalam masa 20 tahun akan datang.
"Mengikut pelan sekarang, kapasiti LRT3 akan diperkembangkan secara berperingkat berdasarkan kepada unjuran permintaan semasa dan dalam masa terdekat, dan bukannya seperti sebelum ini yang mana kapasiti dibina secara serta-merta untuk dipadankan dengan permintaan 20 tahun akan datang," katanya.
Apabila siap kelak, Guan Eng berkata, perjalanan 37.6 kilometer dari Klang ke Petaling Jaya akan memakan masa sejam saja berbanding kenderaan persendirian memerlukan lebih dua jam untuk merentasi jarak yang sama semasa kesesakan trafik.
Sumber: Berita Harian
Comments