Bayan Lepas: Kerajaan Persekutuan memberi jaminan bahawa projek transit aliran ringan (LRT) Pulau Pinang tidak berdepan risiko dibatalkan kerana kontrak sudah dianugerahkan kepada agensi pelaksana.
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, pembatalan projek itu hampir mustahil jika berlaku pertukaran kerajaan pada masa depan kerana ia sudah memasuki fasa penting.
Menurutnya, tindakan sedemikian juga boleh menyebabkan kerajaan berdepan tindakan saman.
"Apabila kontrak telah dianugerahkan, kerajaan sudah terikat secara komitmen dengan pihak swasta. Pembatalan mungkin hanya boleh dilakukan pada peringkat awal iaitu sebelum kontrak diberikan.
"Tapi bila sudah keluar tender dan telah lantik (kontraktor), selalunya tak boleh 'reverse' sebab kalau batal maka kerajaan boleh kena saman," katanya pada sesi jawab program Madani Mendengar di Pusat Konvensyen Setia Spice, di sini, hari ini.
Rafizi turut menyuarakan keyakinan bahawa kerajaan diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan kekal mentadbir negara sehingga tamat penggal dan pada ketika itu segala proses-proses berkaitan projek terbabit dijangka sudah selesai.
Beliau berkata, jika pertukaran kerajaan berlaku mungkin terdapat peningkatan kos serta kelewatan dalam aspek pelaksanaan dan bukannya pembatalan projek kerana bukan tugas mudah untuk dilaksanakan.
Menurutnya, beliau juga lantang mengkritik pelaksanaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sewaktu berada di blok pembangkang, namun projek itu tetap diteruskan oleh kerajaan yang mengambil alih pentadbiran.
Katanya, ini kerana projek itu sudah diluluskan selain sudah melalui peringkat pengambilan tanah dan memeterai perjanjian.
"Kalau orang tanya kenapa dulu masa pembangkang kita tidak bersetuju dengan sesetengah projek contohnya ECRL. Saya tidak bersetuju dengan kos RM70 bilion, kita tidak rasa boleh dapat pulangan dengan ada risiko kerajaan kena terus bagi subsidi.
"Cuma pengalaman saya, dua tahun dalam kerajaan setakat ini mana-mana projek yang telah 'award' (diberi tender) dan sebagainya, kalau kita rasa terma perjanjian dan kontrak itu tidak menguntungkan kerajaan, kita akan cuba untuk berunding semula contohnya kos diturunkan," katanya.
Sumber: Harian Metro
Comments