KUCHING: Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak dijadualkan siap sepenuhnya tahun hadapan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau yang juga Menteri Kewangan memaklumkan, proses tender bagi 19 pakej kerja untuk projek Pan Borneo Sabah Fasa 1b akan diselesaikan November ini, membabitkan jajaran 366 kilometer (km) dengan kos RM15.7 bilion.
"Ketersambungan jaringan jalan yang baik memudahkan pergerakan rakyat di samping melancarkan aktiviti pedagang dan menjana ekonomi setempat. Projek-projek infrastruktur utama jalan raya akan terus diperhebat," katanya dalam pembentangan Belanjawan 2024, hari ini.
Beliau berkata, projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) Fasa 2 pula akan mula dilaksanakan penghujung tahun ini, membabitkan jajaran lebih 320km dengan kos hampir RM7.4 bilion.
Selain itu, katanya, kerajaan akan terus menanggung subsidi pengangkutan udara untuk manfaat penduduk desa dan pedalaman Sabah dan Sarawak dengan peruntukan RM209 juta.
Sumber: Berita Harian
Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak dijadual siap sepenuhnya 2024
Comments