KLUANG: Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru akan memberi kesan positif dalam memacu kemajuan di daerah ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata pembangunan itu meliputi empat daerah iaitu Johor Bahru, Kulai, Segamat dan Kluang sudah siap 97 peratus.
Projek terbabit akan beroperasi secara berfasa dan dijangka siap sepenuhnya pada April tahun depan.
5 stesen dalam DUN Mahkota
"Di Kluang, terdapat lima stesen yang sudah dibangunkan iaitu di Paloh, Mengkibol, Renggam, Layang-Layang dan Kluang yang terletak di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.
"Projek prasarana ini secara tidak langsung akan memberi manfaat kepada lebih 320,000 penduduk di daerah ini, selain merancakkan ekonomi setempat.
"Ini juga bakal memudahkan pergerakan mereka ke arah utara iaitu KL Sentral dan arah selatan JB Sentral. Perjalanan dari Kluang ke KL Sentral mengambil masa dua jam," katanya sini.
Mengulas lanjut Mohamad Fazli berkata, projek itu dalam ujian sistem sebelum beroperasi.
"Stesen Segamat Insya-Allah mula beroperasi pada bulan depan," katanya.
Projek landasan berkembar sepanjang 192 kilometer ini akan melalui 11 stesen dengan tren selaju 140 kilometer sejam, dan masa perjalanan dari KL Sentral ke JB Sentral 3 jam 30 minit.
Sumber: Berita Harian
Projek landasan berkembar Gemas-Johor Bahru beri impak positif pembangunan Kluang
تعليقات