top of page

Projek KXP boleh dibincang ikut proses yang betul - PM


Projek KXP boleh dibincang ikut proses yang betul - PM
Illustrasi projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP)

GEORGETOWN: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan tidak pernah menolak untuk berbincang atau meneliti semua faktor berhubung projek infrastruktur merentasi bidang kuasa kerajaan negeri dan Persekutuan.


Perdana Menteri menegaskan, projek seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) mesti melalui proses tertentu kerana ia tertakluk kepada bidang kuasa mutlak negeri dan Kerajaan Persekutuan.


"Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, bersetuju meneruskan rundingan tapi mesti ikut proses. Sesetengah orang dia hentam (perkara) dia tak tahu, bantah dari segi laluan penerbangan.


"Soal sekuriti, bantahan tentera udara semua itu kita ambil kira, unjuran kargo, apakah kargo cukup dan sebagainya kita perlu bincang dan saya serah pada Kementerian Pengangkutan mengenai aspek teknikal.


"Jika mereka rasa patut disegerakan, kita segerakan kerana projek seperti ini akan memberi manfaat kepada negeri dan rakyat. Saya tidak ada masalah itu sama sekali," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program MADANI Rakyat 2024 Zon Utara di Tapak Pesta, Sungai Nibong di sin,i hari ini.


Anwar berkata, isu KXP dahulunya tergantung kerana tidak mengikut proses sepatutnya. namun kesediaan pimpinan Kedah untuk terus bersama-sama meneliti cadangan projek itu memungkinkan proses perbincangan disegerakan.


Perdana Menteri berkata, Loke akan memaklumkan perkembangan semasa kepada Jemaah Menteri.


"Saya fikir dalam hubungan, kita patut begitu tapi kalau terus pakai hukum dan cerca susahlah kita nak runding. Saya pun tak nak runding.


"Biar dia reda dulu baru kita runding, jangan cara panas. Begitu juga cara Islam runding bila reda," katanya.


Anwar berkata, proses rundingan berhubung pembangunan negeri membabitkan Kelantan, Pulau Pinang, Perak dan Kedah sudah selesai dilaksanakan.


"Kita nampak ada kematangan dalam suasana politik. Dengan kekuatan dan kestabilan politik yang ada, kita boleh menjana pertumbuhan ekonomi," katanya.




Projek KXP boleh dibincang ikut proses yang betul - PM

Kommentare


bottom of page