SABAK BERNAM: Kerajaan Selangor mengenal pasti 10 tapak untuk proses pertukaran tanah bagi membiayai kos pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) yang proses pembinaannya dijangka bermula tahun ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata pemaju masih dalam proses penelitian termasuk nilai tanah yang perlu bersesuaian dengan kos keseluruhan pembangunan kompleks sukan baharu itu.
Katanya, lokasi tanah yang dikenal pasti itu, antaranya di Hulu Selangor dan Pelabuhan Klang dengan proses pertukaran tanah akan dilakukan berdasarkan tahap kemajuan projek komplesk sukan berkenaan.
"Proses penggantian ini tidak semestinya dilakukan secara sekali gus ,namun secara berperingkat. Kita sudah membuat tawaran (tanah) dan kini dalam proses akhir untuk memuktamadkannya.
"Kesemua tanah yang sedang dinilai itu termasuk beberapa di Hulu Selangor dan Klang," katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Pusat Smart Desa Balai Raya Kampung Sungai Air Tawar, di sini hari ini.
Pada 14 Mac lalu, Amirudin dilaporkan berkata, kerajaan negeri sedang melihat kos keseluruhan pembinaan KSSA dan penelitian terhadap tapak tanah yang akan terbabit dalam pertukaran perlulah sama nilainya dengan kos keseluruhan kompleks itu.
Bagaimanapun, katanya, kawasan Pulau Carey tiada dalam senarai itu kerana ia difokuskan bagi pembinaan pelabuhan ketiga di Selangor dan projek Pembangunan Serantau Bersepadu Selatan Selangor (IDRISS).
Amirudin berkata, pembinaan KSSA bukan hanya menumpukan perobohan stadium semata-mata, malah melibatkan keseluruhan projek dan projek akan dimulakan selepas semua proses penggantian tanah selesai.
Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, berkata pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Selangor bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), masih dalam rundingan.
Katanya, ia turut membabitkan empat kerusi dimenangi BERSATU pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu dengan keputusan berhubung rundingan berkenaan akan dimuktamadkan Jawatankuasa Pusat PH-BN.
Mengenai kerusi DUN Sabak dan Meru, Amirudin berkata, kerusi itu akan dikembalikan kepada Parti Amanah Negara (AMANAH) walaupun kedua-dua ADUN asal menyertai PKR.
"Di peringkat negeri, kita membangkitkan penilaian itu, tapi dalam perbincangan, kita tidak mengganggu kerusi yang telah dimenangi parti penyandang (dalam Kerajaan Perpaduan), kecuali atas dasar 'suka sama suka' atau atas keredaan kedua-dua gabungan," katanya.
Pada masa sama, katanya, calon untuk PRN juga akan ditentukan parti termasuk calon bagi bertanding di kerusi yang dimenangi BERSATU.
Sumber: Berita Harian
Comentários