KANGAR: Pembinaan Jeti Bersepadu Sanglang (SIJ) akan bermula seiring selepas enam bulan projek pembinaan Pelabuhan Darat Perlis (PIP) dimulakan.
Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man, berkata pembinaan jeti yang akan menampung keperluan penumpang dari Terminal Feri Kuala Perlis itu sudah pun diselesaikan dari segi keperluan kajian yang diwajibkan pihak berkuasa.
"Bagi projek SIJ, semua kajian diperlukan yang diwajibkan pihak berkuasa sudah pun diselesaikan pemaju dan tanahnya pun sudah tersedia dan sebenarnya dari segi 'design' (Reka Bentuk) konsepnya sudah ada pada pemaju.
"Malah, dari segi pembinaannya (projek SIJ) pula berdasarkan jaminan yang diberikan pemaju adalah enam bulan selepas sahaja projek pembinaan PIP di Padang Besar bermula.
"Ini kerana pemaju hendak memastikan apabila siap sahaja projek PIP itu kelak, maka empat atau enam bulan kemudian projek SIJ itu akan siap seiring dengan jadual ditetapkan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program MARA Prihatin: Jalinan Kasih Bersama Komuniti di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sanglang, di sini hari ini.
Azlan berkata, berdasarkan jaminan diberikan pemaju, infrastruktur sokongan bagi projek PIP sudah dimulakan dengan jalan penghubung atau 'bonded road' bagi projek itu sudah mendahului jadual jangkaan pembinaan apabila kini di peringkat 16 peratus.
"Dalam Mesyuarat EXCO negeri yang lalu, perkembangan dimaklumkan kepada saya berhubung perkembangan projek PIP ini kini pada tahap 16 peratus mendahului masa ditetapkan.
"Selain itu Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) sedang memuktamadkan pemilihan kontraktor bagi pembinaan infrastruktur sokongan fasa dua di PIP seperti pembinaan 'railway spur line' sepanjang 1.3 kilometer dan laluan jejambat.
"Kita diberi jaminan oleh NCIA bahawa kontraktor yang dilantik akan memulakan kerja pada bulan depan," katanya.
Sebelum ini wujud desakan untuk memindahkan operasi Terminal Feri Kuala Perlis ke suatu jeti yang baharu selepas operasi perjalanan feri penumpang di situ sering terganggu disebabkan masalah muara Sungai Perlis yang cetek yang menyukarkan feri untuk berlabuh dan berlepas.
Sementara itu, Azlan pada majlis sama menyampaikan bantuan pendidikan kepada 100 pelajar cemerlang dari SMK Sanglang dan SMK Syed Saffi, manakala MARA menyampaikan sumbangan naik taraf tandas dan surau di SMK Sanglang sebagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Sumber: Berita Harian
Commenti