KUCHING: Kerja-kerja pembinaan Jambatan Sejingkat sepanjang 1.3 kilometer merentasi Sungai Sarawak akan dipercepatkan dan dijadual siap pada Disember 2025.
Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, jambatan dengan kos RM365.7 juta itu pada awalnya dijadualkan siap pada suku pertama 2026.
Bagaimanapun kata Uggah, persetujuan telah dicapai bersama kontraktor dan perunding untuk menyusun semula program kerja supaya jambatan itu dapat disiapkan lebih awal.
"Kita dapati tidak ada masalah yang akan melewatkan projek ini, tambahan kontraktor adalah berpengalaman dan bahan-bahan binaan juga semuanya ada.
"Jadi kita berharap cuaca tidak akan menggangu terlalu banyak projek ini kerana projek ini di tengah-tengah bandar Kuching dan jalan ini sangat penting.
"Sebaik jambatan ini siap, mereka dari kawasan pesisir, Kota Samarahan boleh menggunakan laluan ini dan tidak berdepan kesesakan jalan.
"Sebab itu kita sangat berharap projek ini akan cepat siap dan kita akan memantau rapi projek ini dan beri apa-apa bantuan yang diperlukan untuk pastikan projek ini siap tepat pada masanya," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media semasa turun padang meninjau projek tersebut hari ini.
Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MIPD) menambah, tugas itu adalah berat untuk MIPD dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak kerana terdapat banyak projek di seluruh Sarawak.
Selain Projek Jalan Pesisir, Jalan Utama Kedua dan projek jambatan, MIPD dan JKR Sarawak katanya, memantau banyak lagi projek infrastrutur lain di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
"Banyak projek untuk dipantau dan matlamat kita projek ini siap ikut jadual," katanya.
Ujar Uggah lagi daripada pengalaman dengan Projek Jambatan Marudi, beliau berharap kontraktor Jambatan Sejingkat juga mampu menyiapkan projek ini lebih awal.
"Apabila Premier menyerahkan kontrak Jambatan Marudi, tempoh kontrak adalah 36 bulan tetapi Premier minta (awal) dua bulan dan dapat disiapkan.
"Jadi saya memberitahu mereka (kontraktor Jambatan Sejingkat), jika mereka (kontraktor Jambatan Marudi) boleh mereka juga boleh," katanya.
Uggah turut berkata, beliau akan kembali semula ke tapak Projek Jambatan Sejingkat ini pada hujung Februari 2025 untuk melihat kemajuan projek yang perlu siap pada Disember 2025.
Sumber: Utusan Borneo
Comments