top of page

Projek Jambatan Batang Lupar 2 ikut jadual, dijangka siap Julai 2025: Uggah


Projek Jambatan Batang Lupar 2 ikut jadual, dijangka siap Julai 2025: Uggah
Pelaksanaan projek Jambatan Batang Lupar 2

Projek Jambatan Batang Lupar 2 ikut jadual, dijangka siap Julai 2025: Uggah

KUCHING: Pelaksanaan projek Jambatan Batang Lupar 2 kini mengikut jadual dan dijangka siap pada Julai 2025.


Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, projek yang dilaksanakan sejak Mac 2022 itu kini sudah mencapai 42.65 peratus tahap pelaksanaannya dan 14 hari lebih awal daripada jadual.


Beliau berkata, projek yang menelan kos sebanyak RM223.63 juta itu mempunyai menara kabel yang tertinggi di Malaysia iaitu 145.5 meter.


“Ia memendekkan perjalanan antara Sri Aman dan Betong kepada 20 minit berbanding lebih satu jam sebelum ini apabila menggunakan Lebuh Raya Pan Borneo sejauh 75 kilometer.


“Kosnya adalah berjumlah RM223.6 juta dan kami sangat gembira dengan kemajuan projek setakat ini,” katanya yang turut mengadakan lawatan tapak projek bagi pemasangan kabel pertama.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pakej B2 Fasa 1 Cadangan Pembinaan Jalan Dari Jalan Kejatau Ke Jambatan Batang Lupar 2 di Sri Aman pada Jumaat.


Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata, apabila jambatan berkenaan siap kelak, ia membuka kawasan dari jambatan iaitu Sri Aman ke Betong dan terus keluar ke Pan Borneo di Betong.


Katanya, Jambatan Batang Lupar 2 akan mempunyai tempat letak kereta serta kawasan rehat dan rekreasi mini untuk pengunjung.Katanya, ia atas permintaan wakil rakyat tempatan di Bahagian itu.


Mengenai projek pembinaan jalan dari Jalan Kejatau ke Jambatan Batang Lupar 2 itu, Uggah berkata jalan yang bernilai RM154.8 juta itu akan memintas kawasan bandar ke jambatan.


"Kami menjangkakan ia akan siap menjelang Ogos 2026. Saya mahu JKR (Jabatan Kerja Raya) dan kontraktor melihat tarikh awal bertepatan dengan penyiapan Jambatan Batang Lupar 2.


"Kami mahu situasi di mana jambatan sudah siap, begitu juga jalan ini," tegasnya.


Uggah berkata, JKR akan memantau pembinaan kedua-duanya, iaitu jambatan dan jalan berkenaan dengan teliti bagi memastikan ia siap seperti yang dijadualkan atau lebih awal.


"Kami juga akan memantau pembinaan banyak lagi projek jalan raya yang telah diluluskan oleh Agensi Pembangunan Sri Aman atau SADA," katanya.


Projek Jambatan Batang Lupar 2 ikut jadual, dijangka siap Julai 2025: Uggah

Comentários


bottom of page