MIRI: Sarawak bersedia menuju ke arah pembangunan pesat dengan pelaksanaan beberapa projek infrastruktur utama sepertimana yang diumumkan baru-baru ini.
Antaranya seperti projek peluasan Lapangan Terbang Miri, pembinaan Hospital Kanser yang pertama di Sarawak dan kemajuan projek Jalan Penghubung Sarawak Sabah (SSLR) dan Projek RedLine.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (gambar) mengumumkan perancangan ini semasa merasmikan Simposium Infrastruktur Borneo Ke-2 2024 di Universiti Curtin di sini, hari ini.
Beliau turut menekankan peruntukan besar sebanyak RM5.91 bilion untuk Sarawak dalam Belanjawan 2025, dengan kerjasama erat kerajaan negeri dan persekutuan bagi memastikan impaknya kepada rakyat.
"Salah satu projek utama iaitu peluasan Lapangan Terbang Miri yang telah lama dinantikan akan bermula pada tahun 2025.
"Projek ini yang pertama kali diumumkan oleh Perdana Menteri pada September lalu, bertujuan meningkatkan kapasiti lapangan terbang untuk menampung jumlah penumpang yang semakin meningkat dan memperkukuh hubungan serantau," katanya.
Manakala pencapaian penting dalam bidang kesihatan pula ujar beliau, Sarawak akan menubuhkan sebuah hospital khusus pertama untuk rawatan kanser.
Tambahnya, kemudahan baharu ini dijangka menyediakan akses lebih baik kepada rawatan kanser khusus, sekali gus mengurangkan keperluan pesakit untuk mendapatkan rawatan di luar negeri.
Dalam pada itu menurut Nanta, kerja-kerja bagi Fasa Dua Projek Jalan Penghubung Sarawak Sabah (SSLR) telah dimulakan dengan peruntukan melebihi RM7 bilion.
Katanya, projek ini bertujuan untuk meningkatkan hubungan antara Sarawak dan Sabah, menjadi penghubung penting bagi komuniti luar bandar serta merangsang pertumbuhan ekonomi di rantau ini.
Selain itu menurut beliau, Projek RedLine, yang merupakan komponen penting dalam rangkaian Lebuhraya Pan Borneo turut diberi keutamaan.
"Pada awalnya, jajaran sepanjang 136 kilometer ini berada dalam keadaan baik ketika itu, justeru ia tidak dimasukkan dalam rancangan asal Lebuhraya Pan Borneo bertujuan untuk mengurangkan kos.
"Namun setelah lapan tahun, jajaran itu yang kita panggil Redline sekarang memerlukan pembinaan semula," jelasnya.
Tambahnya, pada 2025, sejumlah RM120 juta telah diperuntukkan Kementerian Ekonomi bagi menaik taraf Projek RedLine, walaupun kos keseluruhan projek dianggarkan antara RM700 juta hingga RM800 juta.
"Memandangkan peruntukan yang diluluskan hanya RM120 juta untuk 2025, kemungkinan kerja-kerja membina semula jalan raya ini perlu dilaksanakan secara berperingkat," katanya.
Sumber: Utusan Borneo
Comentários