top of page

Projek infrastruktur sempadan Malaysia-Indonesia diperinci bulan depan


ILUSTRASI pembinaan jalan yang menghubungkan Malaysia dengan Indonesia. -ANTARA

Kuching: Pembangunan projek kemudahan infrastruktur di sempadan Malaysia-Indonesia antara isu yang akan diperincikan pada mesyuarat Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan Sarawak, bulan depan.


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, semua agensi pelaksana di peringkat negeri dan Persekutuan akan turut serta dalam mesyuarat yang dijadual diadakan di sini.


Beliau berkata, agenda utama mesyuarat itu adalah bagi mengemas kini status semua projek Persekutuan di Sarawak.


"Kita mahu mengenal pasti status projek yang dirancang dan sedang dilaksanakan termasuk jika ada yang menjadi projek sakit.


"Pada masa yang sama, kita akan memperincikan berhubung pembangunan infrastruktur di sempadan," katanya selepas program majlis perasmian ' Town Hall Discussion 2024: Hentikan Ancaman Scammer, Dadah dan Judi Online' anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching dan Pusat Khidmat Parlimen Petra Jaya, di sini, hari ini.


Turut hadir, isteri beliau Datin Seri Ruziah Mohd Tahir; Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata dan timbalannya, Datuk Ibrahim Darus serta Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Hilmy Othman.


Ogos lalu, beliau memaklumkan peruntukan RM1 bilion yang disediakan Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan semua kemudahan di sempadan Malaysia-Indonesia, belum dimanfaat sepenuhnya oleh kementerian dan agensi berkaitan.


Peruntukan berjumlah RM1 bilion itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 19 Januari tahun lalu bagi membangunkan infrastruktur asas di sempadan Sarawak-Kalimantan susulan pembangunan ibu kota negara Indonesia, Nusantara.


Ia bagi membina Kompleks Imigresen Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) serta jalan raya di kawasan berdekatan sempadan.


Sumber: Harian Metro

Comments


bottom of page