top of page

Projek HSR KL-Singapura senarai pendek tiga konsortium


High-Speed Rail project between Kuala Lumpur and Singapore under evaluation by MyHSR Corporation, featuring Berjaya Rail, YTL Construction, and China Railway.
Tujuh konsortium tempatan dan antarabangsa telah menghantar cadangan konsep HSR KL-SG kepada MyHSR Corp

Latest news on Malaysia's rail construction industry, including updates on the Kuala Lumpur-Singapore High-Speed Rail (HSR) project.

KUALA LUMPUR: Tiga konsortium telah disenarai pendek dan melalui penilaian untuk peringkat kertas cadangan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR KL-SG) oleh MyHSR Corporation Sdn Bhd (MyHSR Corp), demikian menurut sumber.


Sumber yang rapat dengan perkembangan itu berkata, tiga konsortium terbabit adalah konsortium yang diketuai Berjaya Rail Sdn Bhd (Berjaya Rail), konsortium YTL Construction Sdn Bhd dan konsortium dari China iaitu China Railway Construction.


Katanya, konsortium yang diketuai China Railway itu membabitkan kerjasama daripada konglomerat tempatan kerana kerajaan mahu projek HSR diuruskan dengan sekurang-kurangnya 51 peratus pemilikan tempatan.


"Tiga konsortium sudah disenarai pendek dan dijangka siapa yang bakal melaksanakan HSR KL-SG akan diberitahu pada akhir tahun ini. Daripada tiga konsortium itu, konsortium China diakui mempunyai keupayaan kewangan, manakala Berjaya dan YTL yakin akan mendapat pembiayaan jika diberikan peluang.


"Kerajaan juga harus mempercayai konsortium tempatan kerana semua mereka sudah melaksanakan penilaian risiko merangkumi kewangan, kebolehan membina dan perancangan tenaga kerja.


"Namun pada masa sama, kerajaan juga ingin berkongsi projek infrastruktur mega itu dengan semua pihak dan mungkin akan memberikan kebenaran kepada beberapa konsortium untuk pelaksanaannya. Masing-masing ada bahagian sepanjang laluan," katanya kepada BH.


Sumber itu berkata, tarikh akhir pelaksanaan projek itu juga dianjakkan lagi kepada 2030 berbanding 2026 sebelum ini, namun ia masih bergantung kepada kelulusan dan pelaksanaan projek yang telah dikaji semula.


Beliau berkata, jajaran juga berkemungkinan akan mengalami perubahan, begitu juga dengan jumlah stesen yang terbabit bergantung kepada keperluan kos pembinaan.


Katanya, semua kerajaan negeri yang terbabit dalam laluan itu iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor telah menyatakan persetujuan dan komitmen dalam menerima HSR KL-SG.


"Perbincangan secara bilateral dengan Singapura juga dikatakan sedang berjalan antara kerajaan ke kerajaan. Bagi konsortium, mereka juga sudah berbincang dengan rakan strategik swasta di negara itu," katanya.


MyHSR Corporation Sdn Bhd sebelum ini menyatakan tujuh konsortium tempatan dan antarabangsa, yang terdiri daripada 31 syarikat telah menghantar cadangan konsep HSR KL-SG kepada pihaknya selepas tarikh akhir penyerahan berakhir pada 15 Januari 2024.


Penyerahan cadangan konsep untuk projek KL-SG HSR ini adalah sebagai tindak balas kepada Latihan Permintaan Maklumat (RFI) yang dilancarkan oleh MyHSR Corp pada Julai 2023 untuk menjemput peserta tempatan dan antarabangsa dari sektor swasta bagi melaksanakan projek ini berdasarkan inisiatif perkongsian awam-swasta dengan model 'Reka Bentuk-Biaya-Bina-Kendali-Pindah' (DFBOT).


Pada 2016, Malaysia dan Singapura menandatangani perjanjian dua hala untuk memulakan projek HSR dengan anggaran kos keseluruhan sebanyak RM60 bilion hingga RM65 bilion.


Kos ini termasuk pembinaan infrastruktur, stesen dan landasan sepanjang kira-kira 350 kilometer dan dijangka mengurangkan masa perjalanan antara Kuala Lumpur dan Singapura kepada sekitar 90 minit.


Namun, selepas pertukaran kerajaan pada 2018, kerajaan mencadangkan penangguhan selama dua tahun untuk mengkaji semula kos dan struktur projek.


Pada masa itu, kos projek dianggarkan sekitar RM110 bilion termasuk perbelanjaan tambahan seperti penangguhan dan faedah pinjaman.


Pada Julai 2023, MyHSR Corp mengumumkan pelaksanaan semula projek mega itu yang akan dibiayai sepenuhnya oleh pihak swasta.


Mandat yang diserahkan kerajaan kepada MyHSR Corp bagi melaksanakan semula projek HSR KL-Singapura itu adalah dengan pelaksanaannya tidak membabitkan kos daripada kerajaan.


Ia bermakna, projek yang tertunda itu akan dibiayai sepenuhnya oleh pihak swasta tanpa menggunakan dana dan jaminan daripada kerajaan.



Projek HSR KL-Singapura senarai pendek tiga konsortium

Comments


bottom of page