top of page

Projek HSR KL-Singapura diteruskan, dibiayai swasta sepenuhnya


Projek HSR KL-Singapura diteruskan, dibiayai swasta sepenuhnya
HSR ialah enjin pertumbuhan dan alat untuk transformasi ekonomi - Foto hiasan

Projek HSR KL-Singapura diteruskan, dibiayai swasta sepenuhnya

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan semula projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura (KL-Singapura) akan dibiayai sepenuhnya oleh pihak swasta, demikian menurut MyHSR Corporation Sdn Bhd (MyHSR Corp).


Pengerusi MyHSR Corp, Datuk Seri Fauzi Abdul Rahman, berkata mandat yang diserahkan kerajaan kepada MyHSR bagi melaksanakan semula projek HSR KL-Singapura itu adalah dengan pelaksanaannya tidak membabitkan kos daripada kerajaan.


Beliau berkata, ia bermakna, projek yang tertunda itu akan dibiayai sepenuhnya oleh pihak swasta tanpa menggunakan dana dan jaminan daripada kerajaan.


Justeru, katanya, pihaknya mempelawa syarikat swasta tempatan dan luar negara yang berminat untuk menghantar cadangan konsep dengan masing-masing kepada MyHSR.


"Projek yang tertunda ini (HSR KL-Singapura) akan diteruskan dan ia akan dibiayai sepenuhnya oleh swasta.


"Kami telah melancarkan proses Permintaan Maklumat (RFI) bagi membolehkan sektor swasta mengemukakan secara rasmi cadangan konsep untuk membina dan mengendalikan projek ini," katanya pada taklimat media di sini, hari ini.


Fauzi berkata, projek HSR KL-Singapura itu akan membawa manfaat yang besar kepada rakyat khususnya dalam meningkatkan dan mengembangkan ekonomi dari Lembah Klang ke koridor selatan semenanjung dan akhirnya ke seluruh negara.


Beliau berkata, projek infrastruktur berimpak tinggi adalah penting dalam memacu pertumbuhan dan pemulihan ekonomi negara.


Katanya, HSR ialah enjin pertumbuhan dan alat untuk transformasi ekonomi dan akan membantu mengubah Malaysia dari segi ekonomi, serta memantapkan lagi daya saing negara.


Mengulas mengenai jangkaan kos pelaksanaan semula projek berkenaan, Fauzi berkata, buat masa ini, kos pelaksanaan semula projek itu tidak dapat ditetapkan lagi kerana ia bergantung kepada cadangan yang dikemukakan oleh syarikat swasta.


"Buat masa ini kami menguar-uarkan kepada pihak swasta bahawa projek ini berjalan semula. Kami akan melihat maklum balas daripada pihak swasta.


"Kosnya akan tinggi dan kita tidak dapat menilai buat masa ini kerana banyak faktor yang sudah berubah," katanya.


Mengenai jajaran akan sama seperti cadangan sebelum ini, Fauzi berkata, MyHSR menyediakan cadangan asas, namun pihak swasta yang berminat boleh mengubah jajaran yang dicadangkan.


Malaysia dan Singapura sebelum ini bersetuju untuk membina projek berkenaan membabitkan nilai RM110 bilion sepanjang 350 kilometer yang dijangka memendekkan masa perjalanan antara kedua-dua bandar raya kepada 90 minit.


Namun, pada 1 Januari 2021, kedua-dua negara mengumumkan bersama penamatan projek HSR apabila kedua-dua negara gagal mencapai persetujuan bagi perubahan yang dicadangkan Malaysia sebelum perjanjian projek itu luput pada 31 Disember 2020.


Pada Mac 2021, Malaysia mengumumkan ia membayar SG$102.8 juta kepada Singapura selaku kos yang ditanggung bagi pembangunan projek HSR dan berkaitan pelanjutan penangguhannya.


Sumber: Berita Harian


Projek HSR KL-Singapura diteruskan, dibiayai swasta sepenuhnya

Comments


bottom of page