PUTRAJAYA: Kontraktor utama yang dilantik Projek Lintasan Damansara-Shah Alam Sdn Bhd (PLDASH), iaitu Turnpike Synergy Sdn Bhd (Turnpike), sudah membayar segala tuntutan selepas memperoleh perakuan dan pengesahan, kepada lapan Kontraktor Pakej Kerja (KPK).
Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) memaklumkan, Turnpike membuat pembayaran itu sebaik saja pihak berkenaan mendapat perakuan dan pengesahan daripada Perunding Jurutera Utama dan Perunding Juruukur Bahan (Perunding) melalui Sijil Perakuan Interim Pembayaran.
Katanya, segala tuntutan daripada KPK itu sudah disemak, diteliti dan disahkan melalui proses telus serta berpandukan terma kontrak mengikut peratusan kerja yang disiapkan.
"Pihak Turnpike sudah melaksanakan kewajipan sebagai Kontraktor Utama yang bertanggungjawab dengan membuat bayaran ke atas segala tuntutan yang diperakukan, disahkan serta dipersetujui bersama oleh KPK dan Perunding berkenan.
"Turnpike juga sudah mengambil pelbagai inisiatif dalam membantu KPK, antaranya dengan membuat pembayaran dalam tempoh 30 hari berbanding terma kontrak 60 hari, dan pembayaran terus kepada subkontraktor yang tertakluk kepada kebenaran daripada KPK.
"Malah, pihak Turnpike juga membuat pembayaran dua kali sebulan bagi membantu aliran tunai KPK dan subkontraktor bagi melaksanakan pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) dengan jayanya," katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, meminta supaya sebarang hutang berkaitan projek DASH perlu dijelaskan segera.
Sebelum ini, timbul dakwaan bahawa sebilangan subkontraktor projek DASH belum dibayar dengan jumlah keseluruhannya mencecah RM80 juta.
PLDASH serta Turnpike adalah anak syarikat milik penuh PROLINTAS, dan kerja pembinaan DASH diagihkan kepada lapan kontraktor KPK melalui proses tender terbuka.
Menurut PROLINTAS, KPK selanjutnya melantik pelbagai subkontraktor dan pembekal bagi tujuan menyiapkan kerja pembinaan berkenaan.
Mengulas lanjut, PROLINTAS berkata memandangkan pembinaan DASH sudah siap sepenuhnya, status penyiapan lebuh raya itu adalah dalam tempoh liabiliti kecacatan (defect liability period), dan perakuan akaun muktamad (final account) akan dikeluarkan selepas kesemua tuntutan bayaran akhir pihak KPK diperhalusi dan diperakui oleh Turnpike serta Perunding.
"Sebarang tuntutan, dakwaan tunggakan atau pertikaian akan diperhalusi melalui proses yang termaktub di dalam kontrak antara kesemua pihak, termasuklah proses timbang tara oleh Turnpike dan KPK.
"Oleh itu, sekiranya pihak subkontraktor atau mana-mana pihak mendakwa terdapat bayaran masih belum dijelaskan oleh KPK, maka pihak subkontraktor sewajarnya merujuk kepada terma kontrak antara KPK dan sub-kontraktor berkenaan bagi mencari jalan penyelesaian.
"Turnpike sentiasa komited untuk menyelesaikan sebarang isu dan pertikaian berpandukan terma kontrak serta piawaian tadbir urus korporat yang telus," katanya.
Lebuh raya DASH sepanjang 20.1 kilometer dengan 13 persimpangan keluar masuk, dibuka mulai jam 12.01 tengah malam Jumaat lalu.
Persimpangan itu ialah di Puncak Perdana, Alam Suria, Denai Alam, Kampung Melayu Subang, Pinggiran Subang, Subang Dua, Lapangan Terbang Subang, RRIM (Kwasa Damansara), Surian, Seksyen 5 Kota Damansara, Sunway Damansara, Damansara Perdana dan Penchala.
DASH menghubungkan tiga lebuh raya utama, iaitu Lebuh Raya Koridor Guthrie (GCE), Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP) dan Lebuh Raya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT).
Sumber: Berita Harian
Commentaires