top of page

Projek dalam, lebar hilir Sungai Klang bermula


Projek dalam, lebar hilir Sungai Klang bermula Berita Harian www.bharian.com.my
Gambar hiasan: Projek dalam, lebar hilir Sungai Klang bermula

SHAH ALAM: Projek mendalam dan melebarkan hilir Sungai Klang sepanjang 56 kilometer (km) dilaksanakan secara berperingkat bermula semalam bagi mengurangkan risiko banjir teruk seperti yang berlaku pada Disember tahun lalu.


Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata projek mendalamkan sungai dengan anggaran kos bernilai RM700 juta itu akan meliputi 12 zon menerusi empat blok utama kawasan titik panas berlaku banjir sekitar kawasan sungai bermula dari Mid Valley, Kuala Lumpur ke Pelabuhan Klang.


Katanya, projek yang diuruskan oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) menerusi subsidiarinya, Landasan Lumayan Sdn Bhd itu dijangka mengambil masa lima tahun untuk disiapkan.


"Kerja-kerja (mendalam dan melebar) akan memberi tumpuan kepada dua blok termasuk kawasan Taman Sri Muda dan kita sasarkan 30 peratus untuk kawasan ini siap sehingga hujung tahun ini.


"Kawasan SA06 iaitu Kota Kemuning yang mana lokasi kita pada masa ini akan dijadikan tapak operasi awal.


"Fasa pertama sejauh 10km ini akan membabitkan kerja pengorekan sungai sehingga tiga meter di kawasan berhampiran perumahan Taman Sri Muda," katanya selepas melancarkan projek mendalam dan melebarkan hilir Sungai Klang di Kota Kemuning hari ini.


Amirudin berkata, secara keseluruhan projek ini bakal memberi manfaat kepada 500,000 penduduk sekitar terutama di kawasan titik panas banjir antaranya Seri Muda, Bukit Lanchong, Kampung Tengah dan Kampung Baru Hicom.


Katanya, dengan proses mendalamkan sungai itu akan meningkatkan kapasiti tampungan air sekali gus turut mengurangkan risiko banjir seperti yang berlaku pada hujung tahun lalu.


Beliau berkata projek mendalam dan melebarkan Sungai Klang akan turut merangkumi pengukuhan tanah tebing sungai dan pembinaan permatang (bunds) yang merupakan inisiatif pertama dijalankan di bawah Pengurusan Sumber Air Bersepadu (IWRM).


"Ia adalah salah satu projek berimpak tinggi dikenal pasti di bawah Zon Pembangunan Ekonomi Selangor Maritime Gateway (ZPE SMG) yang baru diumumkan sebagai pembangunan mampan di bawah Rancangan Selangor Pertama (RS-1)," katanya.


Sumber: Berita Harian


Comments


bottom of page