KUALA LUMPUR: Projek Jalan Central Spine (CSR) yang menghubungkan dua negeri, iaitu dari Kuala Krai, Kelantan ke Lebuhraya Pantai Timur di Karak, Pahang, dijangka siap dan beroperasi sepenuhnya pada 2025.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Jospeh Kurup, berkata projek pembinaan jalan baharu dan naik taraf jalan sedia ada tanpa tol sepanjang 306.8 kilometer itu membabitkan kos keseluruhan RM7.24 billion.
"Kos berkenaan telah diluluskan oleh Unit Perancang Ekonomi (UPE), Jabatan Perdana Menteri. Jumlah kos yang dibelanjakan adalah mengikut bajet yang dicadangkan," katanya menjawab soalan Tengku Zulpuri Shah Raja Puji (PH-Raub) di Dewan Rakyat, hari ini.
Ahli Parlimen DAP itu bertanyakan bila projek CSR dapat disiapkan sepenuhnya dan tarikh laluan itu akan beropersi serta sama ada jumlah kos yang dibelanjakan adakah mengikut bajet yang dicadangkan.
Arthur berkata, projek itu membabitkan enam pakej utama yang dipecahkan kepada 26 sub pakej dan setakat ini, pembinaan lapan sub pakej dengan jarak sejauh 89.25 kilometer (km) sudah disiapkan, manakala 12 sub pakej dengan jarak 134.3 kilometer sedang dalam pembinaan (lulus pelaksanaan).
Selain itu, beliau berkata, satu sub pakej dengan jarak sejauh 20km dalam proses perolehan dan lima sub pakej dengan jarak 55.05km dalam proses perancangan.
Katanya, apabila siap sepenuhnya, laluan berkenaan akan bersambung dengan Lebuh Raya Kota Bharu ke Kuala Krai di Kelantan bagi meningkatkan aksesibiliti dan mobiliti laluan ke Pantai Timur.
"Ini adalah sebahagian daripada jajaran yang diperakukan oleh laporan 'Highway Network Development Plan' 2030 (HNDP 2030)," katanya.
Sumber: Berita Harian
Comentários