GEORGE TOWN – Projek Pembesaran Empangan Mengkuang Fasa 2B (MDEP) yang dilaksanakan Kerajaan Pusat sejak tahun 2011 siap sepenuhnya dan diserahkan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang semalam.
Penyerahan itu disempurnakan Timbalan Pengarah Bahagian Bekalan Air, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Ir Norzani Mahmood kepada SetiausahaKerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Rosli Isa.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Ir K.Pathmanathan berkata, projek Fasa 2B yang menelan belanja RM72.5 juta melibatkan pemasangan saluran paip air mentah berdiameter 1.6 meter (m) sepanjang tujuh kilometer (km) dari Rumah Pam Mak Sulong ke Terusan Sungai Dua.
Katanya, saluran paip itu secara efektif meningkatkan kapasiti pengeluaran Empangan Mengkuang Diperbesarkan (EMD) daripada 300 juta liter sehari (JLH) kepada 600 JLH.
“Peningkatan kapasiti pelepasan ini akan membantu Pulau Pinang dan PBAPP ketika musim kemarau panjang atau senario kecemasan yang melibatkan Sungai Muda.
“Kerajaan negeri menyerahkan projek ini kepada PBAPP untuk diuruskan demi kepentingan pengguna air di Pulau Pinang,” katanya di sini hari ini.
Projek Pembesaran Empangan Mengkuang bermula pada 2011 melalui peruntukan secara langsung kerajaan Persekutuan berjumlah RM1.2 bilion membabitkan empat fasa iaitu Fasa 1, Fasa 2A, Fasa 2B dan Fasa 2C.
Sumber: Kosmo!
Projek besarkan Empangan Mengkuang Fasa 2B siap sepenuhnya
Comments