KUCHING: Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) telah memasukkan projek bekalan air luar bandar di kawasan Kedup dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Martin Ben berkata, projek yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat ini merupakan komitmen yang ditunjukkan oleh Kerajaan Sarawak untuk membangunkan infrastruktur dan utiliti di kawasan Kedup.
"Oleh itu, saya seru penduduk di kawasan terlibat untuk memberi kerjasama sepenuhnya khususnya dalam hal pengambilan tanah penduduk untuk sistem perpaipan utama, pembinaan tangki dan sebagainya," katanya menerusi laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).
Beliau berkata demikian semasa berucap pada sambutan Pra-Gawai 2024 di Kampung Kranji Atas, Serian semalam.
Mengulas lanjut mengenai pembangunan yang akan dilaksanakan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup itu memberitahu, projek membina jalan perhubungan dari Kampung Sungai Aping dan Kampung Empessa ke Sekolah Kebangsaan (SK) Triang akan dimulakan selewat-lewatnya Oktober 2024.
Hadir sama, Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri Mikai Mandau, Setiausaha-Setiausaha Politik Premier Sarawak Bel Aggan, Hajis Japar dan Collin Patan, wakil Residen Bahagian Serian Wee Chung Yee, wakil Pegawai Daerah Serian Gerard George Entigar serta tetamu jemputan yang lain.
Sumber: Utusan Borneo
Projek bekalan air luar bandar di Kedup dimasukkan dalam RMK12
Commentaires