
MIRI: Penduduk di kawasan Beluru, Bekenu, Niah, dan Subis bakal menikmati penambahbaikan besar dalam sistem bekalan air menerusi pelaksanaan projek bekalan air berimpak tinggi di Bukit Song.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi berkata, projek bernilai sekitar RM41.1 juta itu bermatlamat meningkatkan infrastruktur dan sistem bekalan air di empat kawasan tersebut.
Katanya, kerajaan melalui Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi serta Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) sedang berusaha memastikan keperluan asas ini dipenuhi demi kesejahteraan masyarakat.
"Projek ini telah dirancang secara teliti oleh JBALB Sarawak bertujuan menampung permintaan bekalan air yang semakin meningkat di kawasan Beluru, Bekenu, Niah dan Subis.
"Bagi tujuan itu, beberapa elemen penting dalam infrastruktur air sedang dibangunkan termasuk pembinaan stesen pam penggalak baharu dengan kapasiti 3 juta liter serta tangki reservoir berkapasiti 5 juta liter.
"Selain itu, tangki aras tinggi dengan kapasiti 3 juta liter juga sedang dibina di pekan Bekenu," ujarnya dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.
Sehubungan itu kata beliau, seiring dengan pembinaan tangki dan pam penggalak projek ini turut melibatkan pemasangan saluran paip baharu sepanjang 31 kilometer yang akan memainkan peranan penting dalam mengalirkan bekalan air bersih ke kawasan sasaran.
"Apabila projek ini yang dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama tahun 2025, ia akan meningkatkan kapasiti bekalan air dan memberi manfaat kepada lebih 14,000 penduduk di empat kawasan terbabit.
"Justeru, bagi menjamin kualiti air yang lebih baik dan berterusan di bahagian Miri, JBALB Sarawak akan memastikan projek-projek yang kini dalam peringkat pelaksanaan akan disiapkan dalam jangka masa yang telah ditetapkan," katanya.
Ini kerana ujar beliau, projek-projek tersebut merupakan sebahagian daripada Sistem Grid Bekalan Air Sarawak untuk menyelesaikan isu bekalan air secara efektif dan menyeluruh. Terdahulu, Julaihi telah mengadakan lawatan ke tapak projek berkenaan tengah hari tadi.
Sumber: Utusan Borneo
Comentários