top of page

Projek asrama berkapasiti 22,000 belum kemuka permohonan


Projek asrama berkapasiti 22,000 belum kemuka permohonan
Gambar hiasan: Projek yang mereka desak itu melibatkan projek asrama pekerja asing berkapasiti 20,000 penduduk.

Projek asrama berkapasiti 22,000 belum kemuka permohonan

GEORGE TOWN - Projek asrama pekerja asing berkapasiti 22,000 penduduk yang dikatakan akan dibina di Teluk Kumbar sebenarnya belum mengemukakan sebarang permohonan kebenaran merancang.


Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, permohonan yang diluluskan adalah projek asrama pekerja asing di Teluk Kumbar dengan kapasiti 7,000 penduduk.


Menurutnya, kekeliruan dalam kalangan masyarakat berhubung dua projek berkenaan berkemungkinan kerana tidak dapat membezakan maklumat yang diperolehi.

"Projek yang mereka desak itu melibatkan projek asrama pekerja asing berkapasiti 20,000 penduduk. Sebenarnya, memang setakat ini tidak ada permohonan pun (projek tersebut).

"Projek yang diluluskan adalah berkapasiti lebih 7,000 pekerja, yang juga terletak di Teluk Kumbar. Kekeliruan tersebut berkemungkinan berpunca daripada makluman lapangan yang mana, penduduk tidak dapat membezakan projek yang mana satu," katanya pada sidang akhbar pada Selasa.


Sebelum itu, Chow Kon Yeow hadir ke Majlis Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam 2024 di Komtar dekat sini.


Sebelum ini, lebih 1,000 penduduk tempatan di Teluk Kumbar mengadakan demonstrasi aman bagi membantah serta mendesak kerajaan Pulau Pinang untuk segera membatalkan projek pembinaan asrama pekerja warga asing yang dikatakan mampu memuatkan lebih 30,000 pekerja asing di kawasan tersebut.


Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Bantahan Pembinaan Asrama Warga Asing di Teluk Kumbar, Profesor Dr Muhamad Idiris Saleh berkata, hampir keseluruhan penduduk tempatan di Teluk Kumbar membantah pembinaan asrama pekerja asing di kawasan tersebut kerana bimbang dengan pelbagai masalah yang akan timbul pada masa depan.


Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, satu pertemuan diadakan bersama Jawatankuasa Bertindak Bantahan Pembinaan Asrama Warga Asing Teluk Kumbar di Komtar bagi berbincang mengenai isu tersebut.


"Selain daripada berjumpa saya, saya juga meminta Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) memberi taklimat berhubung projek ini kepada Datuk Azrul Mahathir Aziz (ADUN Bayan Lepas) dan badan bertindak berhubung dengan projek ini.


"Semalam, saya pun ada berjumpa wakil Barisan Nasional Balik Pulau, saya terangkan mengenai projek ini," katanya.


Beliau berkata, kerajaan negeri akan mengambil langkah demi langkah sekiranya penduduk sekitar masih membantah berhubung projek berkenaan.


"Seperti apa yang saya nyatakan, kelulusan adalah berdasarkan proses undang undang.


Sebenarnya, keperluan asrama pekerja ini adalah selari dengan keperluan antarabangsa.


"Syarikat-syarikat di Malaysia perlu membuktikan mereka juga mematuhi piawaian antarabangsa berhubung dengan keperluan penginapan pekerja mereka.


"Kita adalah sebuah negeri industri yang mempunyai banyak kilang-kilang, sebelum ini memang tiada perancangan asrama menyebabkan pekerja warga asing tinggal berselerak.


"Ada yang tinggal di taman perumahan dan kita dapat banyak aduan yang perlu kita uruskan.


Dengan adanya asrama, ia satu alternatif yang lebih baik dari segi tempat penginapan, kemudahan yang ada demi mematuhi piawaian antarabangsa tetapi kita faham tentang suara rakyat," katanya.


Sumber: Sinar Harian


Projek asrama berkapasiti 22,000 belum kemuka permohonan

Comments


bottom of page