KUALA LUMPUR: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sudah mencapai kemajuan keseluruhan sebanyak 50.29 peratus.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata tahun ini adalah tahun puncak pembinaan ECRL membabitkan kerja struktur utama seperti pemasangan rasuk, pembinaan stesen dan pemasangan landasan.
Katanya, kerja pengorekan terowong menggunakan kaedah Tunnel Boring Machine (TBM) untuk terowong Genting pertama sudah mencapai 3.10 kometer (km) manakala terowong Genting kedua mencapai 4.29km.
"Jumlah panjang bagi setiap terowong Genting ialah 16.39 km dan satu-satunya terowong berkembar bagi projek ECRL.
"Selain itu, sejumlah 25 terowong berjaya ditembusi setakat 25 Ogos lalu," katanya ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.
Pada masa ini, katanya, tarikh penyiapan projek ECRL dari Kota Bharu, Kelantan sehingga Gombak masih kekal seperti yang dijadualkan iaitu pada 31 Disember 2026 manakala dari Gombak sehingga Pelabuan Klang akan siap pada 31 Disember 2027.
"Projek ECRL akan memberi kesan aglomerasi yang dapat meningkatkan akses kepada peluang pekerjaan dan pusat-pusat ekonomi bagi merangsang aktiviti ekonomi di sepanjang koridor ECRL untuk pengagihan peluang sosio-ekonomi yang lebih seimbang," katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, Kementerian Pengangkutan tidak mempunyai perancangan untuk mengembalikan jajaran asal ECRL ke Tumpat.
"Skim Keretapi bagi jajaran sedia ada sudah diluluskan dan sekiranya ingin dikembalikan ke jajaran asal akan mengakibatkan impak yang tinggi kepada kewangan Kerajaan," katanya.
Katanya, ECRL menerima aduan berhubung keretakan rumah kediaman di kawasan Serendah akibat daripada kerja peletupan yang dijalankan.
Katanya, kerja peletupan yang dijalankan di kawasan terbabit mendapat kelulusan daripada Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta PDRM dan mengikut prosedur yang diluluskan berserta syarat yang ditetapkan oleh jabatan itu.
"Sesi libat urus bersama Majlis Perbandaran Hulu Selangor, JMG, Pejabat Tanah, JPS Selangor bersama warga kerja ECRL bagi membincangkan isu keretakan rumah kediaman akibat daripada kerja peletupan juga akan diadakan esok," katanya.
Sumber: Berita Harian
Comments