MUAR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini melancarkan Program Pendigitalan I4.0 @ILKBS bagi memperkasakan bidang pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET).
Inisiatif yang mula digerakkan akhir tahun lalu membabitkan Institusi Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) membantu menyediakan pelbagai kelengkapan terkini supaya institusi berkenaan lebih bersedia dan dapat memenuhi kehendak pasaran, terutama dalam mendepani Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata sebagai permulaan, inisiatif berkenaan akan dilaksanakan di Institusi Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Pagoh, sebelum diperluas ke IKTBN dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) lain.
“Kita mahu pastikan dan pasarkan graduan TVET dengan lebih baik. Di IKTBN Pagoh, buat pertama kali kita sediakan ‘Smart Machining Centre’ dan ‘Smart Industrial Automation Lab’ yang digerakkan dengan peruntukan RM13 juta daripada kementerian.
“Dengan mesin khas ini, kita dapat latih anak muda dengan kemahiran yang membolehkan mereka mendapat gaji permulaan mencecah RM3,000 hingga RM5,000 sebulan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Program Pendigitalan I4.0 @ ILKBS di Dewan IKTBN Pagoh di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia KBS, Datuk Dr Wasitah Mohd Yusof dan Pengarah IKTBN Pagoh, Abu Sallehein Nordin.
Syed Saddiq berkata, program itu adalah sebahagian daripada fokus pihaknya memartabatkan TVET supaya setaraf dengan universiti awam (UA).
“Kita turut berkolaborasi dengan penggerak industri kerana sebaik mereka habis latihan, keluar terus ada pekerjaan. Di IKTBN Pagoh, kadar pengangguran graduan hanya tiga peratus,” katanya.
Sumber: Berita Harian
#evolusibina #TVET ##IKTBN
Comments