KOTA KINABALU: Hanya 21.61 peratus daripada 1,181 projek yang diluluskan menerusi Pusingan Ketiga Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Sabah dilaksanakan setakat ini.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata berdasarkan prestasi itu, beliau bimbang kemungkinan banyak projek pembangunan tidak dapat dilaksanakan jika tiada langkah proaktif diambil.
Berikutan itu, beliau memberi peringatan kepada ketua jabatan dan pegawai daerah untuk mempercepatkan pelaksanaan projek pembangunan Persekutuan di negeri ini.
"Dengan tempoh enam bulan lagi, saya mahu semua ketua jabatan dan pegawai daerah untuk mengambil perhatian mengenai isu yang menghalang pelaksanaan projek.
"Buat yang terbaik untuk melaksana dan menyiapkannya pada tahun ini," katanya ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) di Menara Kinabalu, di sini, semalam.
Yang turut hadir ialah ketiga-tiga Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, Datuk Dr Joachim Gunsalam dan Datuk Ir Shahelmey Yahya.
Hajiji mengingatkan, beliau mahu melihat laporan kemajuan projek pembangunan pada mesyuarat MTPNg akan datang yang dijadualkan pada September depan.
"Sabah diperuntukkan RM6.05 bilion dalam Belanjawan Persekutuan pada tahun ini, iaitu yang ketiga tertinggi selepas Wilayah Persekutuan dan Selangor.
"Bagaimanapun, di bawah Pusingan Ketiga RMK12, hanya 21.61 peratus daripada 1,181 projek Persekutuan di Sabah dilaksanakan.
"Memandangkan masa semakin suntuk, kerajaan negeri sudah mencadangkan penubuhan Tabung Amanah yang mana peruntukan yang tidak digunakan pada tahun ini boleh disimpan dan digunakan pada tahun depan," katanya.
Sumber: Berita Harian
Prestasi projek Persekutuan 2023 di Sabah baru capai 21 peratus
Comments