KUALA LUMPUR: Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) berada dalam kedudukan kukuh untuk mencatatkan prestasi kewangan yang lebih baik tahun ini berbanding tahun sebelumnya, berdasarkan beberapa projek yang sedang dilaksanakan kumpulan selain penyusunan pengurusan tertinggi baharu.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan - Strategi dan Transformasinya, Ang Yoke Kee, berkata seiring dengan kepercayaan yang diberi Kementerian Kewangan, Prasarana akan menjalankan dan memberikan sepenuh tumpuan ke atas peningkatan prestasi kumpulan.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perancangan kumpulan tetapi menyatakan Prasarana akan membuat pengumuman penting berkaitan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) tidak lama lagi.
“Projek yang sedang dijalankan oleh Prasarana akan diteruskan dan projek baharu akan diumumkan tidak lama lagi. Kumpulan juga akan membuat satu pengumuman mengenai projek LRT3.
“Buat masa ini, Prasarana di bawah teraju kepimpinan baharu akan memberikan yang terbaik,” katanya selepas menyaksikan persembahan tarian singa di dalam tren LRT di sini, hari ini.
Majlis dirasmikan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Datuk Mohamed Hazlan Mohamed Hussain.
Yoke Kee juga adalah antara pengurusan tertinggi baharu yang dilantik MOF bersama dengan Mohamed Hazlan.
Sementara itu, sempena perayaan Tahun Baru Cina yang lalu, Prasarana memeriahkan sambutan perayaan itu dengan menganjurkan tarian singa di beberapa stesen terpilih dan di dalam tren.
Majlis turut dimeriahkan dengan rombongan 30 anak yatim dari Rumah Charis - Home for the Children Kuala Lumpur.
Inisiatif ini menyuntik elemen keceriaan di stesen dan hab bas perantara Prasarana.
Ia juga salah satu strategi kumpulan dalam usaha meningkatkan minat orang ramai menggunakan perkhidmatan awam.
Sumber: Berita Harian
Comments