KUALA LUMPUR: Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) melaksanakan langkah transformasi untuk memastikan agensi perumahan itu kekal selari dengan matlamat agenda perumahan nasional, sekali gus menyesuaikan diri dengan keadaan pasaran.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Nazri Md Shariff berkata, usaha berkenaan kini berjalan lancar dan transformasi perniagaan adalah sebahagian daripada strateginya.
“Usaha dilakukan dan ia berjalan lancar untuk memastikan pemulihannya berjaya. Proses berkenaan dijangka selesai pada Jun tahun ini,” katanya satu kenyataan di sini, semalam.
PR1MA ditubuhkan di bawah Akta PR1MA 2012 untuk merancang, membangun, membina dan menawarkan perumahan berkualiti tinggi berkonsepkan gaya hidup moden bagi penduduk bandar berpendapatan sederhana (M40).
Mohd Nazri berkata, sebagai entiti kerajaan, PR1MA komited menjalankan tanggungjawab dan sentiasa mengambil kira kepentingan pemegang saham termasuk pembeli rumah.
“Pada masa sama, kami juga melaksanakan satu langkah transformasi yang akan membantu memaksimumkan pemulihan agensi perumahan ini, sekali gus meningkatkan lagi perniagaan dan operasi kami,” katanya.
Justeru, katanya, PR1MA memuji keputusan kerajaan untuk meneruskan program perumahan PR1MA, sekali gus meneruskan matlamat utama penubuhan agensi itu untuk membina kediaman berkualiti di kawasan bandar dan subbandar serta menyediakan rumah pada harga berpatutan untuk rakyat khususnya kumpulan M40.
Mengulas mengenai perkembangan PR1MA, beliau berkata, maklum balas yang diterima kekal positif terutama daripada pembeli rumah berpotensi.
“Menerusi Kempen Pemilikan Rumah (HOC), PR1MA menerima tempahan jualan 10,200 unit rumah dengan nilai jualan RM2.56 bilion dalam tempoh kurang dari tiga bulan selepas pelancaran HOC.
“Selain itu, pada masa ini, sejumlah 43,137 unit rumah PR1MA juga dalam pembinaan. Banyak lagi inisiatif baharu dalam perancangan kami bagi menyampaikan agenda perumahan negara, selari dengan aspirasi kerajaan untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat,” katanya.
Sumber: Harian Metro
Comentarios