top of page

Pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail sudah berusia 50 tahun


Pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail sudah berusia 50 tahun
Kejadian pokok tumbang yang menyebabkan beberapa kenderaan dihempap pokok di Jalan Sultan Ismail, petang tadi. NSTP/ASWADI ALIAS

Pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail sudah berusia 50 tahun

KUALA LUMPUR: Pokok yang tumbang di Jalan Sultan Ismail di sini, petang tadi, menyebabkan seorang mangsa terbunuh, manakala dua lagi cedera ketika hujan lebat petang tadi, dikenal pasti sudah berusia lebih 50 tahun.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, berkata pemeriksaan pokok-pokok di Kuala Lumpur dilakukan secara kerap oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan pemantauan dibuat dua tahun sekali.


"Pokok yang tumbang hari ini kita kesan adalah pokok lama, berusia lebih 50 tahun yang berada di bawah pemantauan pihak swasta.


"Kita juga telah mengenal pasti banyak pokok berusia sekitar 50 sehingga 80 tahun di ibu negara yang mana pokok-pokok ini hanya menunggu masa untuk tumbang lebih-lebih lagi dengan keadaan cuaca yang tidak menentu," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.


Zaliha berkata, DBKL juga akan melihat garis panduan yang perlu diambil agar memastikan pokok-pokok sudah tua ini diambil bagi keselamatan orang awam.


Katanya, pemantauan akan dilakukan bagi mengesan berapa banyak pokok tua yang ada di ibu negara.


"Buat masa ini, kita tidak ada data berapa banyak pokok tua tetapi pemantauan akan dilakukan," katanya.


Dalam pada itu, beliau berkata, perbincangan masih dilakukan berhubung pemberian pampasan kepada mangsa-mangsa terlibat.


"DBKL kebiasaan akan ambil tindakan dalam mengenal pasti profil mangsa dan sebagainya," katanya.


Katanya, kerja-kerja pembersihan di kawasan kejadian dijangka selesai selewat-lewatnya malam ini.


Dalam kejadian itu, seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun meninggal dunia, manakala dua lagi mangsa dilaporkan cedera selepas dihempap pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail.


Kesemua mangsa telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur.



Pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail sudah berusia 50 tahun

Comentários


bottom of page