SHAH ALAM - PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjadi syarikat pengendali lebuh raya pertama menerima pengiktirafan keselamatan lalu lintas jalan raya bagi ‘Amalan Baik dalam Pelaksanaan Pengurusan Keselamatan Perjalanan’ daripada NIOSH Certification Sdn Bhd (NIOSH Certification).
Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, kejayaan tersebut menunjukkan bahawa syarikat konsesi itu terus berusaha dan cemerlang dalam memperkasakan keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam kalangan warga PLUS dan komuniti lebuh raya.
Pengiktirafan yang diterima oleh PLUS daripada NIOSH Certification pada September lalu menandakan kecemerlangan dalam mengadaptasi piawaian antarabangsa untuk keselamatan jalan raya, khususnya dalam aspek keselamatan perjalanan.
Ia juga menunjukkan bahawa usaha berterusan PLUS untuk menghasilkan pencapaian yang signifikan dalam memastikan perjalanan pergi dan pulang ke tempat kerja lebih selamat, selesa serta sejahtera.
Turut hadir pada program tersebut ialah Pengerusi PLUS, Datuk Mohamad Nasir Ab Latif dan Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar serta rakan-rakan strategik keselamatan syarikat konsesi itu.
Dalam pada itu, turut disarankan agar semua pihak terus menyokong inisiatif keselamatan yang dijalankan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) iaitu MyJalan.
Melalui kolaborasi MyJalan yang telah diintegrasikan dengan aplikasi PLUS sejak April lalu, usaha itu membolehkan pengguna lebuh raya melaporkan isu berkaitan jalan raya dengan lebih mudah, seterusnya membantu meningkatkan keselamatan jalan raya di negara ini.
Dengan kejayaan seperti ini, PLUS akan terus menjadi peneraju dalam menetapkan penanda aras keselamatan dan kesejahteraan perjalanan pengguna lebuh raya di Malaysia.
Sementara itu, Mohamad Nasir berkata, berdasarkan statistik oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) tahun ini, bilangan kemalangan melibatkan pekerja pada tempoh Januari hingga Jun adalah membimbangkan dengan lebih 41,000 kes kemalangan industri dan perjalanan direkodkan.
Jelas beliau, daripada jumlah tersebut, sebanyak 52 peratus kemalangan di Malaysia melibatkan kemalangan industri manakala 48 peratus melibatkan kemalangan perjalanan (pergi dan pulang) dari tempat kerja.
Statistik ini dilihat relevan dengan data kemalangan direkodkan di lebuh raya PLUS pada tahun ini, menunjukkan 66 peratus daripada kemalangan melibatkan kenderaan persendirian (Kelas Satu), 20 peratus melibatkan motosikal, manakala 14 peratus lagi melibatkan lain-lain jenis kenderaan.
Daripada analisis kami, kebanyakan insiden kemalangan tersebut berlaku pada waktu puncak perjalanan hari bekerja.
Ini menandakan keperluan untuk semua pihak berganding bahu untuk terus meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya dan mengambil langkah pencegahan untuk mengurangkan risiko kemalangan.
Sumber: Sinar Harian
Comments