top of page

Pintu platform automatik akan beroperasi di semua platform monorel


Menteri Pengangkutan Anthony Loke (dua dari kanan) diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad Mohd Azharuddin Md Sah (kanan) dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Strategi dan Pembangunan) Prasarana, Dr Prodyut Dutt (dua dari kiri) melihat pintu automatik yang beroperasi di Stesen Monorel KL Sentral ketika meninjau status kerja-kerja menambah baik fasiliti laluan Monorel Kuala Lumpur.- FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Semua pintu platform automatik (PAGS) di 11 stesen monorel akan mula beroperasi menjelang akhir tahun ini.


Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata rekabentuk stesen monorel di negara ini tidak dilengkapi dengan pintu automatik berkenaan sekaligus memberi risiko keselamatan kepada orang ramai.


Katanya, berikutan itu pada tahun 2010 kerajaan ketika itu meluluskan projek menambah jumlah gerabak serta menambahbaik stesen termasuk menyediakan pintu platform automatik berkenaan.


Namun katanya, pada tahun 2016 projek memasang PAGS itu tergendala kerana mengalami masalah dengan syarikat kontraktor.


“Meskipun pintu itu sudah dipasang, tetapi ia tidak beroperasi dengan sebaiknya kerana mengalami masalah dengan sistem.


“Jadi antara 2012 hingga tahun ini, terdapat 10 insiden kemalangan berlaku apabila ada penumpang yang tergelincir ke atas trek. Jadi projek ini sangat penting kepada pengguna monorel,” katanya dalam sidang media selepas meninjau status kerja menambah baik fasiliti laluan monorel, hari ini.


Mengulas lanjut, Loke berkata selepas projek itu tergendala, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menganugerahkan projek berkenaan kepada sebuah syarikat lain dengan nilai kontrak sebanyak RM6.81juta.


Tambahnya, meskipun tempoh projek itu diberikan dalam tempoh satu tahun, namun syarikat terbabit berjaya menyiapkan lebih awal dengan dua stesen iaitu KL Sentral dan Tun Sambanthan kini sudah dilengkapi dengan PAGS.

m

“Menjelang akhir bulan ini, PAGS di empat lagi stesen boleh digunakan iaitu Stesen Maharajalela, Imbi, Hang Tuah dan Bukit Bintang.


“Selebihnya menjelang 31 Disember ini, semua stesen termasuk Stesen Raja Chulan, Bandar Tuanku, Titiwangsa, Bukit Nenas dan Chowkit akan dilengkapi dengan PAGS.


“Ini adalah satu perkembangan positif kepada penumpang monorel dan saya ucapkan terima kasih kepada Prasarana kerana menyahut cabaran dan bertungkus lumus memastikan projek ini dapat disiapkan lebih awal.


“Saya sangat gembira kerana kita dapat menyediakan kemudahan dan keselesaan kepada penumpang dan itu juga adalah antara objektif saya sejak menjadi Menteri Pengangkutan,” katanya.


Sumber: Buletin TV3

Comments


bottom of page