top of page

Pindah projek kecil ringankan beban JKR


Pindah projek kecil ringankan beban JKR
Gambar hiasan

Pindah projek kecil ringankan beban JKR

Isnin lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan projek infrastruktur kecil seperti baik pulih sekolah dan klinik daif yang diselia Jabatan Kerja Raya (JKR), dipindahkan kepada jabatan lain atau pejabat daerah bagi mempercepatkan pembinaannya.


Hasrat Perdana Menteri, langkah itu akan membebaskan JKR daripada beban kerana jabatan mempunyai tanggungjawab besar terutama membabitkan projek seperti lebuh raya dan tebatan banjir. Apakah kelebihan dan kekurangan langkah baharu ini dan bagaimana mahu memastikan isu ketirisan, rasuah serta penyelewengan tidak berlaku di agensi pengendali yang baharu.


Datuk Seri Mohamed Fadzill Hassan, Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM)


Soalan (S): Apa kelebihan dan kekurangan pendekatan baharu kerajaan ini?

Jawapan (J): Kelebihannya ialah ia memperbanyakkan peluang pekerjaan untuk kontraktor kecil. Pemilihan kontraktor untuk laksana projek juga lebih cepat jika agensi penyelia mempunyai kakitangan mencukupi, bertauliah, berpengalaman dan cekap mengendalikan prosesnya. Kekurangannya pula ialah kita bimbang kakitangan atau pegawai yang bertanggungjawab menguruskan projek tidak cukup berpengalaman. Banyak mana agensi mahupun jabatan sekalipun, kita tidak mahu mereka yang mengendalikan projek terdiri daripada pegawai tiada pengalaman. Kita bimbang itu menjadi antara punca sesuatu projek lewat siap, malah kekurangan kakitangan juga akan menjadi batasan.


S: Mampukah cara baharu ini menangani isu ketirisan atau penyelewengan?

J: Bagi mengelak ketirisan dan penyelewengan, projek mesti dikendalikan dengan cara cabutan undi kerana langkah seperti itu agak telus. Selain itu, projek perlu melalui proses prakelayakan untuk memastikan kontraktor mempunyai kelayakan sepatutnya dengan sumber kewangan kukuh supaya projek yang dilaksanakan kelak tidak menghadapi sebarang masalah. Kaedah cabut undi mengikut pengkelasan kontraktor memberi peluang kontraktor melaksanakan projek mengikut piawaian dan tempoh masa ditetapkan.


Selain itu, boleh guna kaedah e-tender, iaitu proses tender dalam talian. Ia memudahkan kontraktor mendapat projek secara telus dan tidak berhubung dengan mana-mana pihak secara bersemuka yang mungkin lebih terdedah kepada ketirisan dan penyelewengan. Namun, jika kaedah berkenaan mahu dilaksanakan, capaian memohon melalui sistem dalam talian perlu ditangani terlebih dahulu bagi mengelak masalah seperti kegagalan memasuki laman sesawang jabatan untuk membuat permohonan, terutama membabitkan perkara e-tender.


S: Bolehkah berlaku pertindihan tugas dengan skop diguna pakai pihak berkuasa tempatan (PBT). Perlukah SOP baharu bagi melicinkan pemindahan tugas antara JKR dan jabatan lain?

J: Pertindihan tugas itu tidak dapat dipastikan sehingga ia dilaksanakan kementerian terbabit. Kita perlu menunggu prosedur lengkap diumumkan kerajaan nanti dan kita berharap prosedurnya tidak menyusahkan kontraktor. Kementerian dan jabatan berkaitan perlu ada manual atau prosedur operasi standard (SOP) bagaimana untuk menguruskan pemindahan kerja ini.


Pihak kementerian dan jabatan berkaitan perlu berbincang sesama mereka dan sepatutnya hanya mengikut satu SOP untuk melicinkan pelaksanaan projek serta memastikan mutu kerja baik mengikut standard piawai JKR. Mungkin perlu ada jawatankuasa khas dianggotai jabatan berkaitan dengan wakil JKR untuk memastikan projek berjalan lancar, mengikut tempoh ditetapkan serta mengikut bajet disediakan.


S: Apakah perlu tender terbuka atau jabatan lantik terus kontraktor untuk melaksanakan projek. Sejauh mana perubahan ini boleh dipastikan bebas pengaruh kronisme dan kepentingan politik?

J: Tender terbuka atau lantik terus kontraktor itu perlu ditentukan kementerian berkaitan, terutama menyentuh kepentingan atau tahap perlu disegerakan projek itu dan jika ada lantikan terus dengan kontraktor berwibawa serta tender terbuka untuk menyelaras projek tertentu.


Sejauh mana perubahan ini boleh dipastikan bebas pengaruh kronisme dan kepentingan politik? Pengaruh politik ini sebenarnya di mana-mana pun akan tetap ada dan tidak dapat dielakkan. Perkara ini mungkin harus ditangani dengan cermat di setiap kementerian dan jabatan berkaitan.


S: Siapa akan bertanggungjawab jika projek dilaksanakan melalui kaedah baharu ini gagal disiapkan, tertangguh atau kontraktor lari?

J: Sampai pada peringkat berkenaan, kita perlu mengkaji satu persatu kes yang ada. Ketika ini memang banyak projek tertangguh, ditamatkan dan kontraktor melarikan diri. Kita perlu mengkaji semula apa punca menyebabkan semua itu berlaku. Adakah ia membabitkan perkara teknikal, pengurusan atau kewangan.


Projek yang gagal atau tertangguh lazimnya disebabkan kontraktor mengalami masalah kewangan dan kekurangan pekerja. Sekiranya projek gagal disiapkan, pihak kontraktor itu perlu bertanggungjawab sepenuhnya dengan cara apa sekalipun, tambahan lagi jika projek berkenaan adalah projek persendirian.


S: Pada pandangan Datuk Seri, berapa nilai had projek boleh dipindahkan kepada jabatan atau agensi lain?

J: Projek tanpa had nilai boleh diserahkan kepada mana-mana jabatan kerana yang paling penting ialah mutu projek memuaskan serta memenuhi spesifikasi ditetapkan, termasuk disiapkan mengikut tempoh ditetapkan.


Sumber: Berita Harian


Pindah projek kecil ringankan beban JKR

תגובות


bottom of page