PUTRAJAYA - Kerajaan bakal membuat pindaan kepada Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja bagi memastikan kewujudan kuarters binaan dan rumah kongsi pekerja asing di tapak binaan adalah mematuhi standard prosedur operasi (SOP) ditetapkan kerajaan.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu penting bagi membendung sebarang penularan jangkitan wabak koronavirus (Covid-19) dalam kalangan pekerja asing sebagaimana berlaku di sebuah tapak binaan di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menurutnya, pindaan akta ini akan menjelaskan pematuhan SOP terperinci mengenai perumahan untuk pekerja asing yang perlu dipatuhi setiap operator tapak binaan di negara ini.
"Sebenarnya terdapat dua jenis tempat tinggal pekerja asing yang dibenarkan kerajaan iaitu yang pertama jenis kuarters binaan diselia Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan kedua jenis rumah kongsi yang terletak di bawah pemantauan Kementerian Sumber Manusia.
"Kedua-dua jenis tempat tinggal itu terletak di bawah SOP ditetapkan, cuma kerajaan akan membuat pindaan kepada akta dipanggil Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja bagi memperincikan lagi syarat perumahan untuk pekerja asing.
"Pindaan akta itu dijangka akan diumumkan Menteri Sumber Manusia dalam masa terdekat dan ia turut dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet baru-baru ini," katanya pada sidang akhbar (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri menegaskan Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan (JKWP) Kuala Lumpur dan Putrajaya telah mengenakan perintah tutup tapak binaan dan rumah kongsi yang terlibat dengan kluster penularan Covid-19 dalam kalangan pekerja asing di Kuala Lumpur.
Menurutnya, kluster pekerja asing itu dapat dikenal pasti kerana pihak kontraktor telah mematuhi SOP yang ditetapkan iaitu untuk melakukan saringan Covid-19 ke atas pekerja mereka sebelum dibenarkan beroperasi.
"Setelah menjalankan saringan Covid-19 ke atas semua pekerja, 44 pekerja disahkan positif dan dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan dengan pekerja-pekerja yang mempunyai kontak rapat turut dikuarantin.
"Selain tapak binaan berkenaan dikenakan perintah tutup, JKWP turut melaksanakan proses pembersihan dan nyah kuman di kawasan jangkitan itu,"katanya.
Menurut Ismail, CIDB akan terus memeriksa tapak binaan bagi memastikan SOP dipatuhi sepanjang tempoh PKPB.
Katanya, sehingga hari ini, sejumlah 5,236 tapak binaan telah diperiksa dengan 728 tapak binaan didapati mematuhi SOP manakala 209 tapak binaan tidak mematuhi SOP dan telah diberi amaran.
"Sebanyak tujuh tapak binaan diberi arahan tutup dan 4,292 tapak binaan tidak beroperasi.
"Seramai 27,383 pekerja di tapak binaan telah disaring Covid-19 oleh majikan masing-masing," katanya.
Sumber: Sinar Harian
Kommentare