top of page

PIC tunggu keputusan ujian sampel pencemaran Pantai Esen


PENCEMARAN di Pantai Esen. FOTO Bernama

Georgetown: Punca sebenar yang menyebabkan pencemaran selut di Pantai Esen, Permatang Damar Laut, Batu Maung di sini masih belum dapat dipastikan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation Sdn Bhd (PIC) Datuk Seri Farizan Darus.


Beliau memaklumkan ketika ini pihaknya masih menunggu keputusan ujian sampel yang telah diambil sebelum ini meskipun terdapat dakwaan yang mengatakan ia berpunca daripada kerja-kerja penambakan Pulau Silikon.


Farizan bagaimanapun berkata pihaknya telah mengambil inisiatif melalui pelan jangka pendek dengan menjalankan kerja-kerja pembersihan di kawasan itu sejak 24 Okt lepas selain melantik perunding dan pakar hidraulik sebagai pelan jangka sederhana.


"Pelan jangka panjang pula, jika diperlukan seperti yang disyaratkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), kita akan menjalankan kerja-kerja mendalamkan terusan di kawasan pantai itu tetapi buat masa sekarang tiada keperluan untuk melaksanakannya.


"Pelbagai fakta mengatakan punca pencemaran adalah daripada projek (Pulau Silikon), tetapi dari segi saintifik belum dapat dibuktikan sebab kita masih tunggu keputusan makmal," katanya pada lawatan media ke tapak projek Pulau Silikon di sini hari ini.


Farizan berkata, hasil dapatan makmal swasta sebelum ini mendapati kejadian itu berpunca daripada kehadiran alga, namun dari mana alga itu datang masih belum dapat dipastikan.


"Kalau daripada kerja tambakan, sepatutnya ketika kita buat pemasangan tirai kelodak, perkara sama (boleh) berlaku tapi tak ada. Jadi ada kemungkinan ia datang daripada sumber lain yang akan kita tentukan kemudian.


"Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga telah mengambil sampel di lokasi kejadian dan memerlukan masa tiga bulan untuk mendapatkan keputusan atau hasil siasatan, selain Jabatan Perikanan (DOF) yang turut berbuat demikian," katanya.


Farizan berkata, pihaknya juga mempunyai pasukan yang melakukan pemantauan setiap hari sebagai tanggungjawab sosial korporat syarikat.


Media sebelum ini melaporkan Pantai Esen yang digelar 'permata tersembunyi' di Pulau Pinang itu dicemari selut dan bau busuk dipercayai berpunca daripada projek tambakan laut tidak jauh dari pantai itu.


Selain menjejaskan pendapatan pengusaha sukan air, penduduk turut mendakwa hidupan laut seperti siput banyak ditemukan mati di pesisir pantai.


Sumber: Harian Metro

Comments


bottom of page