top of page

PGB tinjau peluang penjanaan kuasa, peralihan tenaga


PGB tinjau peluang penjanaan kuasa, peralihan tenaga Berita Harian www.bharian.com.my
Loji pemprosesan gas Kertih, Terengganu - Foto ihsan PGB

KUALA LUMPUR: PETRONAS Gas Bhd (PGB) akan terus meneroka peluang pertumbuhan dalam kecekapan sedia ada kumpulan di samping bidang baharu yang memanfaatkan peningkatan permintaan gas serta peralihan tenaga.


Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Aziz Othman, berkata ia termasuk penjanaan kuasa yang semakin meningkat di Semenanjung, Sabah dan serantau, meneruskan penyelesaian utiliti bersepadu untuk kuasa dan utiliti di zon perindustrian baharu di Malaysia selain meninjau peluang yang dibawa oleh peralihan tenaga.


Katanya, walaupun berdepan persekitaran pasaran yang mencabar pada masa ini, PGB masih berada di landasan yang betul dan komited untuk mencapai sasaran yang ditetapkan bagi 2022.


"Ini dilakukan melalui pengurusan berkesan operasi, serta menilai peluang pertumbuhan bagi mengurangkan sebarang hasil buruk daripada faktor luaran yang mempengaruhi keuntungan kami," katanya kepada BH.


Abdul Aziz berkata, dalam tempoh sembilan bulan 2022, PGB terus menyampaikan aliran pendapatan yang stabil daripada semua segmen perniagaan dengan prestasi operasi bertaraf dunia.


Beliau berkata, PGB akan terus memastikan loji dan kemudahan beroperasi dengan selamat, boleh dipercayai dan cekap, yang diterjemahkan kepada pendapatan tetap daripada kontrak jangka panjang kumpulan yang meliputi segmen perniagaan dalam pemprosesan gas, pengangkutan dan pengegasan semula.


Katanya, purata jualan gas PGB semakin meningkat, selaras dengan pengukuhan aktiviti ekonomi Malaysia dan didorong terutaman oleh permintaan domestik yang kukuh.


Namun, jelasnya prestasi kewangan PGB terjejas oleh harga gas bahan api yang lebih tinggi, trend ringgit yang lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan Cukai Makmur.


"Kami menjangkakan trend harga gas bahan api yang tinggi dan kelemahan ringgit akan berterusan pada suku terakhir 2022, memberi kesan kepada keputusan tahun penuh kumpulan.


"Beberapa usaha bagi mengurangkan kesan kos operasi yang lebih tinggi termasuk menambah baik terma komersial dalam kontrak utiliti kami yang diperbaharui, yang membenarkan pelepasan kos gas lebih seimbang," katanya.


Pada 14 November 2022, PGB mengisytiharkan dividen interim sebanyak 18 sen sesaham biasa, menjadikan jumlah dividen bagi tahun pada masa ini pada 50 sen sesaham, sekali gus membuktikan komitmen PGB untuk memastikan pulangan yang berterusan kepada pemegang saham.


Abdul Aziz berkata, perbelanjaan modal PGB untuk 2022, dijangka lebih RM1 bilion, terdiri daripada penyelenggaraan loji yang dirancang serta projek pertumbuhan yang diluluskan.


Beliau berkata, perbelanjaan modal penyelenggaraan tahunan biasanya antara 50 peratus hingga 60 peratus daripada jumlah perbelanjaan modal, bergantung kepada tahap aktiviti yang dijalankan sepanjang tahun, sementara baki 40 peratus hingga 50 peratus adalah untuk projek yang sudah mencapai keputusan pelaburan akhir.


Sumber: Berita Harian


1 view

Comentários


bottom of page