top of page

Petronas, Scomi berganding dalam usaha pemasaran kimia


Kerjasama dalam penyelidikan, pembangunan dan pemasaran penyelesaian kimia merupakan penggandingan pertama di tahap skala ini antara Petronas dan Scomi. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Syarikat petroleum nasional (Petronas) dan Scomi hari ini menandatangani dua perjanjian untuk kerjasama dalam penyelidikan, pembangunan dan pemasaran penyelesaian kimia.


Kerjasama itu melibatkan Petronas Chemicals Marketing (Labuan) Ltd (PCML) iaitu anak syarikat milik penuh Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) dan Scomi Oiltools Sdn Bhd., yang juga anak syarikat milik penuh Scomi Energy Services Bhd (SESB).


Perjanjian pertama adalah untuk memformalkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) penyelesaian kimia yang berterusan yang disasarkan untuk industri minyak dan gas, yang telah bermula sejak 2016.


Sementara itu, perjanjian kedua adalah untuk mengkomersialkan adunan lumpur berasaskan air berprestasi tinggi - produk pertama yang dibangunkan di bawah kolaborasi.


Dibangunkan di Pusat Penyelidikan dan Teknologi Global Scomi di Shah Alam, aditif ini direka untuk meningkatkan perencatan syal dalam aktiviti penggerudian di luar pantai dan di darat.


Mengulas mengenai perkongsian itu, Pengarah Urusan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Datuk Sazali Hamzah optimis terhadap kerjasama ini.


"Perkongsian ini adalah berfaedah bagi kedua-dua PCG dan Scomi, kerana ia membolehkan kami bersama-sama mewujudkan penyelesaian inovatif dan mampan untuk pelanggan kami.


"Di PCG, hasil yang diinginkan dari inovasi produk kami adalah untuk menghasilkan produk untuk pasaran yang memenuhi keperluan pelanggan kami. Pendekatan ini memastikan hubungan kita dalam industri, dan peranan kami sebagai pemimpin pasaran," kata Sazali.


Dalam perkembangan yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Hilmy Zaini turut menyokong perkembangan ini.


Menurut beliau, pihaknya senang hati meneruskan kerjasama dengan PCML untuk membangunkan lebih banyak produk baru yang cekap dan komersial, yang akan meningkatkan proses penggerudian dan eksplorasi.


"Tumpuan kami sekarang adalah untuk mempromosikan bahan tambahan lumpur berasaskan air yang berprestasi tinggi di pasaran domestik dan global," kata Hilmi.


Sumber: Astro Awani


Comments


bottom of page