Kuala Lumpur: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) hari ini memperkenalkan Gentari Sdn Bhd (Gentari) untuk mempercepatkan penggunaan dan pengkomersilan tenaga bersih.
Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat minyak negara itu berkata entiti baharu berkenaan menyasar untuk menyampaikan rangkaian penyelesaian tenaga boleh diperbaharui, hidrogen dan mobiliti hijau yang selamat, bertanggungjawab, optimum dari segi kos dan pengurangan pelepasan dengan menggunakan pendekatan bersepadu merentasi rantaian nilai tenaga bersih untuk pelanggan di seluruh dunia.
Pengerusi Gentari Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata Gentari akan menawarkan penyelesaian tenaga yang lebih bersih untuk memenuhi keperluan tenaga dan aspirasi karbon rendah Malaysia serta pelanggannya di dalam dan luar negara.
Berbekalkan pasukan berdedikasi yang memfokuskan pada pembekalan, pengedaran dan peruncitan tenaga yang lebih bersih, Petronas berhasrat merebut peluang dalam ruang tenaga rendah karbon dengan menyediakan penyelesaian dan sistem yang mampu milik serta boleh diakses dengan mendayakan skala pengeluaran dan ketersediaan infrastruktur.
"Meningkatkan kemajuan yang Petronas capai setakat ini di bawah Perniagaan Tenaga Baharu sedia ada dan membina perkongsian dengan pembekal tenaga dan teknologi generasi akan datang, Gentari akan mendapat manfaat daripada kapasiti dan sumber segera untuk meneruskan usaha tenaga bersih pada skala perindustrian, bermula dengan Malaysia dan Asia Pasifik.
"Kami berharap dapat memenuhi keperluan tenaga hari ini dan masa depan dengan penyelesaian tenaga yang lebih bersih yang memacu kemajuan secara adil dan mampan," kata Tengku Muhammad Taufik.
Menjelang 2030, Gentari berhasrat untuk membina kapasiti tenaga boleh diperbaharui 30-40 gigawatt (GW), khususnya dalam solar dengan peluang tambahan dalam penyimpanan angin dan bateri.
Syarikat itu juga sedang merancang membekalkan sehingga 1.2 juta tan setahun (mtpa) hidrogen dengan memanfaatkan kecekapan dalam membangunkan projek besar untuk mencapai skala sebagai pengeluar hidrogen karbon rendah bermula dengan projek-projek di Malaysia.
Ia turut berhasrat menjadi penyedia penyelesaian mobiliti hijau pilihan, menyokong ekosistem kenderaan elektrik (EV) dengan menguasai 10 peratus bahagian pasaran atau sekitar 25,000 poin pengecasan berdasarkan anggaran semasa, merentas pasaran utama di Asia Pasifik dengan kehadiran utama di Malaysia dan India.
Aset-aset dan projek tenaga bersih Gentari hari ini termasuk kapasiti solar satu gigawatt puncak (GWp), masing-masing di India dan Malaysia.
Ia mempunyai rangkaian projek hidrogen bersih yang sedang dibangunkan di Malaysia dan pasaran utama lain bersama-sama rakan kongsi dengan projek pertama ini disasarkan dimulakan pada 2025.
Syarikat itu mempunyai lebih 220 kenderaan elektrik di bawah model Vehicle-as-a-Service (VaaS), serta rangkaian sedia ada kira-kira 170 poin pengecasan di India dan Malaysia.
Sumber: Harian Metro
Comments