top of page

PETRONAS komited tangani masalah aliran tunai kontraktor


KUALA LUMPUR: PETRONAS sudah melaksanakan inisiatif bagi menangani masalah aliran tunai yang dihadapi oleh sesetengah penyedia perkhidmatannya.


Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin, berkata syarikat minyak dan gas nasional itu sudah memperkenalkan beberapa skim bagi membantu vendornya dari segi akses kepada pembiayaan.


Beliau berkata, pada tahun lalu, PETRONAS melancarkan Program Pembiayaan Vendor dengan Bank Islam Malaysia Bhd dan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) bagi menangani akses kepada pembiayaan yang menjadi cabaran kepada industri.


“Kami mengambil kira hal ini (isu aliran tunai) dalam membuat pemilihan kontraktor utama berdasarkan kepada prestasi sebelumnya. Sesetengah kontrak, terdapat campur tangan yang boleh kami lakukan bagi membantu isu ini.


“Bagaimanapun, kami juga terikat dengan sesetengah terma kontrak, yang mana kadang-kadang mengehadkan kami untuk campur tangan sepenuhnya,” katanya pada sidang media mengumumkan prestasi kewangan PETRONAS bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018 di sini, hari ini.


Beliau berkata demikian bagi mengulas sama ada PETRONAS menyedari isu aliran tunai yang dihadapi sesetengah vendornya dan tindakan penyelesaian yang diambilnya.


Wan Zulkiflee berkata, sebagai syarikat minyak dan gas negara, PETRONAS juga terus menunaikan tanggungjawabnya dalam membangun dan memupuk industri minyak dan gas tempatan.


Katanya, pada Mei tahun lalu, PETRONAS melancarkan VDPx, lanjutan kepada Program Pembangunan Vendornya yang berjaya sebelum ini, untuk terus membangunkan kemampuan dalam sektor minyak dan gas tempatan dan pada masa sama mewujudkan kesan berganda yang memanfaatkan industri dan ekonomi.


Beliau menjelaskan, VDPx memperkasakan kontraktor VDP peringkat kedua untuk membangunkan ekosistem mereka sendiri bagi menyokong perniagaan dan industri.


“Kami juga memperkenalkan Program Lestari pada Januari tahun ini yang menyasasarkan untuk meningkatkan kemampuan vendor Bumiputera dan terus mencatatkan kemajuan dengan edisi kedua Program Pembiayaan Vendor bersama lima bank tempatan dan asing pada Februari.


“Kami kekal komited untuk bekerjasama dengan sektor perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) untuk membangunkan penyelesaian berkesan bagi memastikan perkembangan pesat industri minyak dan gas tempatan,” katanya.


Sumber: Berita Harian


Comments


bottom of page