top of page

PETRONAS, JV temui lapangan gas terbesar di Indonesia


KUALA LUMPUR: PETRONAS dan rakan usaha samanya (JV), Repsol serta MOECO berjaya membuat penemuan lapangan gas terbesar dalam tempoh 18 tahun di blok Sakakemang, Sumatera Selatan, Indonesia.


Repsol, syarikat tenaga antarabangsa berpangkalan di Madrid, dalam satu kenyataan berkata penemuan itu antara 10 yang terbesar di seluruh dunia dalam tempoh 12 bulan.


Katanya, telaga gas KBD-2X di Sumatera Selatan dianggarkan memiliki sumber sekurang-kurangnya dua trilion kaki padu (Tcf) yang boleh diterokai.


“Syarikat akan meneruskan kerja-kerja penerokaan dalam tempoh beberapa bulan akan datang menerusi penilaian yang dirancang dengan baik,” katanya.


Repsol sebagai pengendali menguasai 45 peratus kepentingan kerja, manakala baki 45 peratus dan 10 peratus lagi, masing-masing dimiliki PETRONAS dan MOECO.


Kenyataan itu menambah, Repsol bekerjasama rapat dengan SKK Migas atau Satuan Kerja Khusus Pelaksana Kegiatan Usaha Hulu Minyak dan Gas Bumi iaitu institusi yang dibentuk oleh kerajaan Indonesia bagi melaksanakan aktiviti penerokaan di blok berkenaan.


“Langkah seterusnya, Repsol akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia,” katanya.

Indonesia menjadi destinasi tumpuan penyelidikan penerokaan Repsol di Asia Tenggara.


Repsol memiliki beberapa lesen di Sumatera merangkumi pelabuhan darat dan luar pesisir, selain ia merancang untuk melaksanakan penggerudian serta langkah pengambilalihan seismik sepanjang tahun ini dan 2020.


Perkembangan aset gas itu bakal memberi manfaat kepada ekonomi tempatan dan serantau dengan ia meningkatkan bekalan bahan bakar berpatutan dan rendah karbon untuk kegunaan industri termasuk penjanaan kuasa.


“Strategi penerokaan dan pengeluaran Repsol memberi tumpuan kepada pembangunan aset gas, yang dianggap sebagai bahan bakar utama untuk peralihan tenaga kepada ekonomi global berkarbon rendah,” katanya.


Kenyataan itu berkata, gas membentuk tiga perempat daripada rizab syarikat dan dua pertiga daripada pengeluaran.


“Repsol menemui lebih 50 hidrokarbon dalam tempoh 2007 hingga 2019,” katanya.


Menurut Repsol, 10 daripadanya penemuan hidrokarbon antara terbesar dunia, sekali gus membuktikan kemampuan penerokaan syarikat.


“Lebih daripada separuh penemuan ini sudah menghasilkan pengeluaran,” katanya.


Sumber: Berita Harian


38 views

Comentários


bottom of page