top of page

PETRONAS, firma Abu Dhabi bekerjasama bina penyelesaian AI


PETRONAS, firma Abu Dhabi bekerjasama bina penyelesaian AI
Gambar hiasan

PETRONAS, firma Abu Dhabi bekerjasama bina penyelesaian AI

KUALA LUMPUR: PETRONAS dan AIQ, sebuah syarikat teknologi berpangkalan di Abu Dhabi, menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi berkongsi pengalaman membina penyelesaian kecerdasan buatan (AI) yang berpotensi mempercepatkan peralihan tenaga dan memacu kemampanan merentas operasi tenaga.


Menerusi kerjasama itu, kedua-dua pihak akan memanfaatkan pemahaman mendalam mereka mengenai industri tenaga untuk bekerjasama dalam inovasi digital melalui perkongsian pengetahuan, penciptaan nilai, pembangunan produk bersama dan pengkomersilan, pembangunan keupayaan dan kejuruteraan.


Sebagai sebahagian daripada kerjasama itu, kedua-dua pihak akan bekerjasama untuk merintis dan menguji penyelesaian AI untuk mendapatkan aplikasi berdaya maju dan kes penggunaan yang boleh mencipta nilai merentas berbilang perniagaan dalam sektor tenaga pada skala global.


PETRONAS dan AIQ juga akan membangunkan amalan dan rangka kerja terbaik AI dan Analitik Lanjutan untuk memastikan kecemerlangan komersial dan operasi sepanjang projek usaha sama ini.


Naib Presiden Teknologi dan Pengkomersilan Kumpulan PETRONAS, Aadrin Azly, berkata syarikat minyak nasional itu berharap dapat bekerjasama dengan AIQ untuk mencipta bersama dan memanfaatkan keupayaan satu sama lain sambil terus mengubah operasi, memperkaya kemahiran pekerja serta meningkatkan produktiviti dan keberkesanan organisasi dengan AI.


"Ia sejajar dengan apa yang mahu dicapai melalui Pusat Kecemerlangan AI (AI CoE) kami," katanya dalam satu kenyataan.


Ketua Pegawai Eksekutif AIQ, Omar Al Marzooqi, pula berkata AIQ berbangga untuk membentuk perkongsian strategik dengan peneraju industri utama seperti PETRONAS, yang kedua-duanya mahu mempercepatkan transformasi digital sektor tenaga dan memacunya ke arah kemajuan ke masa depan yang lebih mampan.


"Cabaran dan kerumitan dalam perubahan iklim memerlukan penyelesaian pintar serta cekap untuk industri, justeru kerjasama sedemikian memastikan penyelesaian digital yang cekap bertaraf dunia tersedia untuk semua pemain industri mendapat manfaat daripadanya," katanya.


MoU itu ditandatangani oleh Ketua Sains Data PETRONAS, Dr Sambasivam Rajamani, dan Ketua Pegawai Teknologi AIQ, Saravan Kumar Penubarthi sambil disaksikan oleh Aadrin Azly dan Naib Presiden Kanan Pembangunan Komersial dan Perniagaan AIQ, Dr Ahmed Salem.


Selain mengusahakan penyelesaian AI, PETRONAS dan AIQ akan mereka bentuk serta melancarkan inisiatif pembangunan keupayaan untuk meningkatkan kemahiran tenaga kerja mereka.


Sumber: Berita Harian


PETRONAS, firma Abu Dhabi bekerjasama bina penyelesaian AI

Comments


bottom of page