KUALA LUMPUR, 10 Dis: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan menilai keperluan untuk memanjangkan keluasan kawasan projek pembersihan dan pengindahan Sungai Melaka.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata dua fasa yang sedang dilaksanakan ketika ini meliputi jajaran sungai sehingga ke Jambatan Hang Jebat manakala fasa kedua berakhir di pintu air pasang surut Batu Hampar.
Jelas beliau pakej pertama melibatkan 4.5 kilometer (km) manakala pakej kedua sepanjang 4.7 km yang belum siap.
“Sebenarnya di situ juga kita letakkan River Water Treatment Plant yang mana air akan dibersihkan terlebih dahulu sebelum dialirkan ke sungai, dengan cara itulah kita akan mengekalkan keindahan air di Sungai Melaka.
“Kita ambil maklum apabila kerajaan negeri memutuskan untuk mengehadkan penggunaan kereta dan sebagainya, dan ini pastinya merupakan satu langkah aktif yang perlu dititikberatkan bagi mencapai hasrat menjadikan Melaka sebagai satu destinasi pelancongan,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Mustafa Musa mengenai cadangan PETRA untuk memanjangkan perjalanan sungai bagi membolehkan Melaka River Cruise dan teksi air beroperasi untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas.
Untuk rekod, fasa pertama telah siap pada 2010 dengan jumlah kos RM350 juta manakala fasa kedua melibatkan tiga pakej dengan jumlah kos sebanyak RM357 juta.
Kemajuan terkini pakej sedang dalam pelaksanaan adalah 83 peratus dan berdasarkan jadual, ia akan siap sepenuhnya pada 2025.
Sumber: TVS
Comments