KUALA LUMPUR: PETRONAS Chemicals Group Bhd (PetChem) mengumumkan ia sudah mencapai keputusan pelaburan akhir (FID) untuk pengambilalihan loji Maleic Anhydride (MAn) yang mempunyai kapasiti 113 kilotan setahun (ktpa) di Gebeng, Kuantan daripada BASF PETRONAS Chemicals Sdn Bhd (BPC).
Syarikat dalam satu kenyataan berkata, loji itu bakal meningkatkan lagi portfolio produk PetChem dan derivatifnya, justeru mengukuhkan lagi penawaran produknya.
Katanya, FID itu menandakan permulaan fasa pelaksanaan projek loji berkenaan untuk menaik taraf dan mempertingkatkan kemudahan untuk menghasilkan MAn yang diproses, yang dijangka siap menjelang separuh kedua 2025.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PetChem, Ir Mohd Yusri Mohamed Yusof, berkata FID untuk loji MAn menandakan komitmen pihaknya ke arah mewujudkan peluang pertumbuhan baharu dengan mempelbagaikan ke jurusan derivatif dan bahan kimia khusus.
"Ia turut membolehkan kami menghasilkan MAn untuk memenuhi permintaan yang meningkat daripada pelanggan di rantau Asia Pasifik dan India di samping menerokai peluang yang berpotensi dalam pasaran Eropah dan Timur Tengah.
"Tambahan lagi, loji itu akan membolehkan penyepaduan derivatif kimia khusus MAn dengan kedua-dua anak syarikat kami iaitu Perstorp dan BRB pada masa akan datang untuk memberikan penyelesaian inovatif dan juga kemungkinan usaha sama bersama pengeluar hiliran MAn yang lain di Malaysia," kata Yusri.
Kegunaan utama MAn adalah dalam pembuatan resin poliester tidak tepu, cat dan bahan perisa makanan.
Sebelum ini, loji MAn itu yang diuruskan oleh BPC, syarikat usaha sama PetChem dan kini akan dikendalikan oleh anak syarikatnya, PETRONAS Chemicals MTBE Sdn Bhd, berikutan penyelesaian pengambilalihan ini.
Sumber: Berita Harian
PetChem ambil alih loji Maleic Anhydride BASF di Gebeng
Comments