KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh Pesona Metro Holdings Bhd (PMHB) Pesona Metro Sdn Bhd memperoleh kontrak daripada NRY Architects Sdn Bhd untuk pelaksanaan dan penyiapan kerja-kerja substruktur dan bangunan utama di Cyberjaya bagi nilai kontrak RM181.8 juta.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, PMHB menjelaskan projek itu yang dibangunkan oleh anak syarikat Avaland Bhd, Lakefront Residence Sdn Bhd, meliputi 606 unit kondominium setinggi 28 tingkat, rumah kelab dan tempat letak kereta dua tingkat serta kemudahan awam.
"Projek itu hendaklah disiapkan dalam tempoh 40 bulan dari tarikh permulaan, secara tentatifnya pada 16 Disember 2024," tambahnya.
PMHB memaklumkan, pemberian kerja-kerja itu tidak akan menjejaskan modal saham dan struktur pegangan sahamnya.
Kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan dan meningkatkan aset bersih sepanjang tempoh projek.
Pada penutup dagangan hari ini, harga saham PMHB meningkat satu sen kepada 27.5 sen dengan 7.76 juta saham bertukar tangan.
Sumber: Berita Harian
Comments