SHAH ALAM, 16 NOV: Sejumlah RM523,800 diperuntuk bagi menaik taraf Sistem Tender Online Selangor, kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sistem tender dalam talian yang telah digunapakai di negeri ini dan melalui tiga kali penambahbaikan akan dioptimumkan lagi.
“Ia termasuk penyelarasan proses penilaian bagi perolehan secara berpusat melalui Sistem Tender Online Selangor.
“Ia juga bagi mengurangkan kos pembangunan baharu dan mengelakkan pertindihan sistem supaya setiap agensi tidak perlu menambah tanggungjawab pembangunan atau pengurusan sistem selain meningkatkan ketelusan ketika proses penilaian dalam perolehan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2025 semalam.
Selain itu, sejumlah RM600,000 diperuntuk bagi pembangunan sistem pengurusan projek berimpak tinggi Kerajaan Negeri mahupun kerjasama swasta.
“Sistem pengurusan projek berimpak tinggi akan dibangunkan untuk memantau setiap fasa projek, bermula dari pengumuman, agensi terlibat, amaun diperuntukkan, sehinggalah kepada aspek perancangan dan pelaksanaan.
“Ia termasuk sebarang isu yang menyebabkan kelewatan. Semua ini akan menjadi nilai tambah kepada pentadbiran negeri dalam menguruskan projek berimpak tinggi seperti digariskan dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) serta rancangan akan datang,” katanya.
Sumber: Selangor Kini
Comments