Kuala Lumpur: Belanjawan 2021 menyaksikan kerajaan bakal melaksanakan beberapa inisiatif bagi kemudahan pelbagai lapisan rakyat dalam usaha membantu meningkatkan pemilikan rumah dan menyediakan perumahan selesa serta berkualiti.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, bagi menggalakkan pemilikan rumah, kerajaan akan melaksanakan beberapa inisiatif antaranya pengecualian duti setem sepenuhnya ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman bagi pembelian kediaman pertama bernilai sehingga RM500,000.
"Pengecualian ini adalah untuk perjanjian jual beli yang disempurnakan mulai 1 Januari 2021 sehingga 31 Disember 2025," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Selain itu, beliau berkata, pengecualian duti setem ke atas perjanjian pinjaman dan surat cara pindah milik diberikan kepada kontraktor penyelamat dan pembeli asal rumah terbengkalai dilanjutkan bagi tempoh lima tahun lagi.
"Pengecualian ini adalah untuk perjanjian jual beli yang disempurnakan mulai 1 Januari 2021 sehingga 31 Disember 2025 bagi projek perumahan terbengkalai yang disahkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan," katanya.
Tengku Zafrul berkata, kerajaan juga akan bekerjasama dengan institusi kewangan terpilih untuk menyediakan Skim Rent-to-Own yang akan dilaksanakan sehingga 2022 membabitkan 5,000 rumah PR1MA dengan nilai keseluruhan lebih RM1 bilion, dikhaskan untuk pembeli rumah pertama.
Menerusi aspek penyediaan perumahan yang selesa dan berkualiti kepada golongan berpendapatan rendah, Tengku Zafrul berkata sebanyak RM1.2 bilion diperuntukkan kerajaan dalam Belanjawan 2021.
Katanya, ia meliputi RM500 juta untuk membina sehingga 14,000 rumah di bawah Program Perumahan Rakyat dan RM315 juta untuk membina 3,000 unit Rumah Mesra Rakyat oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad.
"Sebanyak RM125 juta bagi penyelenggaraan perumahan berstrata kos rendah dan sederhana rendah serta bantuan membaik pulih rumah usang dan yang mengalami kerosakan akibat bencana alam serta RM310 juta untuk Program Perumahan Penjawat Awam Malaysia," katanya.
Sumber: Harian Metro
Comments