SRI AMAN: Persimpangan bertingkat Sri Aman yang dibina dengan kos RM28.8 juta membantu menyuraikan trafik dari Serian ke Sri Aman dan Betong untuk pergerakan yang lebih selesa dan selamat.
Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof memberitahu, persimpangan yang berkeluasan 19.4 hektar sepanjang satu kilometer merupakan penaiktarafan simpang sedia ada dengan rekaan terdiri daripada dua ramp, tiga jalan gred pemisah untuk memudahkan pergerakan trafik.
“Persimpangan bertingkat ini adalah infrastruktur tunggal seumpamanya di bawah Pakej Kerja 04 Lebuh Raya Pan Borneo dari Simpang Pantu ke Batang Skrang yang meliputi jarak 89.44 kilometer.
“Ia membantu menyuraikan trafik dari Serian ke Sri Aman dan Betong untuk pergerakan yang lebih selesa dan selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Perasmian Persimpangan Bertingkat Sri Aman, Seksyen Sri Aman WPC04 Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak di sini, hari ini.
Jelasnya, ia turut menjadi pemangkin kepada pembangunan kawasan sekitar seperti Lachau, Temudok, Sri Aman, Engkilili dan Skrang dengan akses jalan raya yang baik.
“Sekali gus menjadi bukti komitmen Kerajaan Persekutuan dalam membangunkan rangkaian jalan raya sedia ada secara lebih terancang, sistematik dan efisien.
“Selain bagi meningkatkan kesalinghubungan Keluarga Malaysia di Sarawak,” ujarnya.
Ia dibina oleh kontraktor pakej kerja iaitu Naim Gamuda (Naga) JV Sdn. Bhd. dan dibuka untuk kegunaan pada 30 Ogos lalu.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (Pembangunan Infrastruktur) Ir Aidel Lariwoo, Adun Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor, Residen Bahagian Sri Aman Sirai Daha dan Timbalan Pengarah (Infrastruktur) JKR Sarawak Ts Cassidy Morris turut hadir.
Sumber: Sarawak Voice
Comments