top of page

Persimpangan bertingkat baharu Lebuhraya PLUS di Nilai bakal dibina


Gambar hiasan: Plaza tol Nilai

PORT DICKSON: Persimpangan bertingkat baharu Lebuhraya Utara-Selatan bagi akses ke Labu telah diluluskan dalam Rolling Plan Kelima (RP5), Rancangan Malaysia Ke-12.


Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, Kementerian Ekonomi telah meluluskan projek membina Persimpangan Bertingkat Baharu Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) di Kilometer 276.5, Nilai.


“Terima kasih kepada Kementerian Ekonomi kerana mempertimbangkan projek ini dengan peruntukan sebanyak RM50 juta sebagai suntikan kepada pelaksanaan projek tersebut.


“Walau bagaimanapun, di kesempatan ini, saya ingin memohon tambahan lagi bagi pelaksanaan projek ini yang akan berpandukan kepada model cost sharing antara Kerajaan dan pemaju.


“Komitmen Kerajaan Persekutuan dalam hal ini amat diharapkan dalam menjayakan usahasama awam swasta melibatkan infrastruktur sokongan kepada pembangunan yang direncanakan,” kata Aminuddin.


Aminuddin berkata demikian di Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) Bersama Kerajaan Negeri Sembilan di Lexis Hibiscus, Port Dickson.


Dalam pada itu, Aminuddin berkata, berdasarkan kepada inisiatif pembangunan Kluster Industri Wilayah Tengah juga, negeri-negeri yang terlibat telah sepakat menyokong cadangan jaringan lebuhraya baharu melibatkan Lebuhraya Senawang – KLIA (SKLIA) serta sambungan Lebuhraya West Coast Expressway (WCE) menghubungkan Banting, Selangor merentasi Negeri Sembilan dan Melaka hingga ke Gelang Patah, Johor.


Jajarannya WCE sepanjang pantai Port Dickson akan memberi limpahan ekonomi dan pembangunan kepada rakyat di Negeri Sembilan.


“Manakala, Lebuhraya SKLIA dengan sambungan Paroi – Senawang Link (PSL) akan memberi kesinambungan di antara Lebuhraya PLUS dan Lebuhraya LEKAS dengan sambungan ke jalan-jalan Persekutuan melibatkan Jalan Seremban – Tampin dan Jalan Seremban – Kuala Pilah.


“Ini seterusnya akan memberi alternatif dan kemudahan kepada pengguna jalan raya dan sebagai Kerajaan yang bertanggungjawab, perkara seperti ini yang melibatkan keperluan dan keselesaan rakyat, harus diberikan keutamaan.


“Selain itu, Negeri Sembilan juga ingin berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana meluluskan projek Menaik Taraf Jalan Bahau-Keratong (FT011), dari Seksyen 30.00 hingga Seksyen 40.00, Jempol, Negeri Sembilan dan infrastruktur jalan luar bandar yang menghubungkan melang dengan Senaling, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.


“Untuk projek pembinaan kemudahan awam pula, Negeri Sembilan menerima kelulusan bagi projek Pembinaan Klinik Kesihatan (Jenis 2) Labu (Baharu) dan Pejabat Kesihatan Daerah Seremban (Gantian) serta Stor Integrasi Farmasi Daerah Seremban (Baharu) Negeri Sembilan.


“Semua projek-projek ini yang disenaraikan bagi Negeri Sembilan telah diluluskan di bawah RP5 RMKe-12 berjumlah RM717.603 juta,” jelas Aminuddin.

Turut hadir memberi taklimat, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.


Sumber: Negeri Kita

תגובות


bottom of page