Persatuan kontraktor mohon lesen kontraktor dihentikan sementara waktu
- Ridhwanisme
- Jun 19, 2023
- 1 min read

KOTA BHARU: Kementerian Kerja Raya menerima banyak permohonan daripada Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), meminta lesen kontraktor dihadkan atau dihentikan sementara waktu sehingga keadaan ekonomi kembali pulih.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, berkata bilangan kontraktor ketika ini terlalu ramai sehingga mencecah 160,000 orang, bermula kelas G1 hingga G7.
Beliau berkata, jumlah kontraktor yang ramai itu menyebabkan persaingan yang besar dalam kalangan mereka, yang mungkin menyebabkan sebahagian besar daripada mereka tidak mendapat projek sejak sekian lama.
"Beberapa negeri saya sudah lawati, termasuk hari ini di Kelantan dan permintaan mereka adalah sama iaitu meminta lesen dihadkan atau dihentikan sementara waktu sehingga keadaan ekonomi kembali pulih.
"Sebagai contoh, satu projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) bernilai RM200 juta, yang membabitkan kontraktor gred G7 dihadiri sehingga 300 syarikat kontraktor iaitu persaingan yang begitu ramai.
"Walaupun ia satu persaingan, situasi ini membimbangkan. Kita risau ada antara mereka yang sudah lama tidak mendapat projek sedangkan kontraktor berkenaan juga mempunyai kakitangan yang perlu dibiayai," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-46 PKMM Kelantan, di sini, hari ini. Yang turut hadir, Pengerusi PKMM Kelantan, Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz.
Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, pihaknya akan mengusulkan permintaan PKMM itu kepada Kementerian Kewangan.
Sumber: Berita Harian
Persatuan kontraktor mohon lesen kontraktor dihentikan sementara waktu
Comments