KUALA LUMPUR: Perluasan rasionalisasi subsidi oleh kerajaan kepada beberapa item lain termasuk RON 95 akan mencetuskan gelombang baharu untuk perbelanjaan dalam infrastruktur awam pada masa hadapan, demikian menurut penganalisis.
Penganalisis CIMB Securities, Mak Hoy Ken, berkata gelombang baharu perbelanjaan infrastruktur awam mungkin akan dimulakan dengan pelaksanaan dua projek mega di Pulau Pinang.
Beliau berkata, laporan media menyatakan bahawa Malaysia Airports telah membentuk pasukan untuk mengawasi kerja pengembangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA).
Katanya, dengan kerja yang dijadualkan bermula pada November 2024, CIMB Securities menjangkakan keputusan tender untuk tiga pakej utama di bawah projek peningkatan lapangan terbang yang bernilai RM1.5 bilion ini akan diumumkan pada penghujung 2024.
"Dalam masa yang sama, rundingan untuk projek bernilai RM8 bilion bagi Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara kini berada di peringkat akhir (menunggu penyelesaian beberapa butiran teknikal dan kos projek akhir).
"Walaupun terlalu awal untuk mengenal pasti calon pemenang bagi kerja-kerja peningkatan PIA, kami yakin bahawa Gamuda berada dalam posisi yang kukuh untuk meraih hampir RM5 bilion nilai kerja pembinaan untuk projek LRT Mutiara.
"Ini berdasarkan pegangan 60 peratus dalam SRS Consortium yang akan memainkan peranan utama dalam pembinaan laluan LRT yang baru ini," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.
Hoy Ken berkata, satu lagi projek infrastruktur penting yang mungkin akan diketengahkan dalam Belanjawan 2025 adalah sambungan rel dalaman di Johor Bahru.
Beliau berkata, ia akan menyokong permulaan perkhidmatan Johor-Singapore Rapid Transit System Link (RTS Link) yang dijadualkan pada 1 Januari 2027 dengan kemajuan setakat Julai 2024 pada 83 peratus.
Katanya, setakat ini dua pilihan telah dibentangkan iaitu LRT sepanjang 30 kilometer yang dianggarkan bernilai RM20 bilion, atau Autonomous Rail Transit (ART) sepanjang 50 kilometer, yang dikatakan hanya memerlukan kos pembinaan sebanyak RM7 bilion.
"Walau apa pun pilihan yang dipilih, perkhidmatan rel ini akan menjadi sebahagian daripada rangkaian pengangkutan tempatan yang lancar, termasuk rancangan pengembangan Lebuhraya Utara Selatan (Lebuhraya PLUS) dan Lebuhraya Senai-Desaru (SDE)," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata status cadangan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura dan Aliran Transit Massa 3 (MRT 3) masih belum jelas pada masa ini.
"Kami menjangkakan projek infrastruktur asas akan diutamakan di Malaysia Timur di bawah Belanjawan 2025," katanya.
Hoy Ken berkata, perbelanjaan pembangunan bagi separuh pertama 2024 menguncup sebanyak 24.2 peratus tahun ke tahun kepada RM34 bilion.
Sebaliknya, beliau berkata aliran kerja pembinaan domestik disokong oleh mandat swasta, terutamanya bagi kerja-kerja pusat data (DC) serta kemudahan teknologi maju, trend yang dijangka berterusan menuju ke 2025.
"Kami menjangkakan kerajaan akan meningkatkan pengagihan perbelanjaan pembangunan bermula suku keempat 2024 dan selanjutnya, seterusnya mengekalkan momentum ini pada 2025, yang turut menandakan kitaran baharu pelan pembangunan lima tahun negara, Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13)," katanya.
Sumber: Berita Harian
Comments