Putrajaya: Kerajaan perlu menyegerakan pelaksanaan projek tebatan banjir di seluruh negara mengambil kira perubahan iklim global yang dijangka mengakibatkan peningkatan paras laut secara mendadak.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata sekiranya tindakan segera tidak diambil, berkemungkinan perbelanjaan negara bagi projek terbatan banjir bakal mencecah ratusan bilion ringgit.
"Mengikut unjuran Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), pada 2050, kebanyakan negara di Kepulauan Pasifik, Kepulauan Atlantik dan negara pulau, ketika itu akan berada di bawah air termasuk Pulau Maldives dan pulau lain, tak terkecuali di Semenanjung dan Sabah serta Sarawak.
"Ketika ini di kawasan Pantai Barat sedang alami paras laut lebih tinggi daripada daratan, maknanya dari 2024 hingga 2050 hanya tinggal beberapa tahun lagi dan kita mungkin berdepan keadaan itu.
"Sebab itu, kita mesti fikirkan untuk (laksana) projek tebatan banjir. Sekiranya kita lakukan tebatan banjir ketika itu (2050), perbelanjaan mungkin lebih RM100 bilion," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Konvensyen Rakan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pengarah Nadma, Datuk Khairul Shahril Idrus dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) berkata, Malaysia seharusnya belajar daripada Belanda yang memanfaatkan muka buminya yang lebih rendah daripada paras laut untuk menjana ekonomi negara.
"Saiz Belanda sebesar negeri Pahang tetapi ia menjadi negara pengeksport pertanian terbesar dunia.
"Ini disebabkan mereka turn around (mengubah) kawasan yang mengalami musibah banjir sebagai kawasan pertanian. Ini sebenarnya boleh juga dilakukan di negara kita," katanya.
Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut melancarkan Pelan Rejuvenasi Rakan Nadma 2030.
Dokumen itu dibangunkan sebagai rujukan kepada pelbagai pihak berkepentingan bagi merancang, melaksana dan memantau program yang memberi impak positif kepada golongan rentan sekali gus dapat memajukan dunia kesukarelaan serta melonjakkan peranan sektor kemanusiaan.
Pelan terbabit menggariskan tiga kumpulan kerja Rakan Nadma yang boleh digunakan sebagai panduan supaya dapat memainkan peranan masing-masing dengan lebih relevan dan berkesan.
Sumber: Harian Metro
Comments