KANGAR: Empat negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) atau 'State-Goverment 4' (SG4), Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu, mampu meningkat kegiatan ekonomi dan pelaburan dengan memanfaatkan sumber dan aset mengikut bidang kuasa negeri masing-masing.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang juga Penasihat SG4, mengambil contoh Perlis yang dilihat tidak begitu menonjol berbanding negeri lain berikutan sumber pendapatannya terhad tetapi masih mempunyai kelebihan yang boleh dimanfaatkan.
"Sebenarnya negeri ini (Perlis) punyai kelebihan dan aset yang boleh jana pertumbuhan ekonomi, umpamanya cuaca di Perlis ini panas, sudah tentu sesuai diadakan projek tenaga solar besar-besaran.
"Saya juga dimaklum sudah ada industri perubatan dan farmaseutikal bertapak di Perlis, malah begitu juga hasil tani seperti buah mangga harum manis yang mendapat permintaan tinggi bila tiba musimnya.
"Selain itu hutan, bukit dan gua turut menjadi produk pelancongan tempatan," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini, selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Kediaman Rasmi Menteri Besar Perlis, di sini semalam.
Dr Mahathir berkata, berdasarkan pemerhatian beliau, Perlis juga masih mempunyai banyak tanah kosong yang terbiar.
"Dahulu pernah saya cadang di tepi jalan raya diusahakan tanam pokok jati kerana pokok jati nilainya cukup tinggi dan Kedah serta Perlis amat sesuai tanam pokok jenis ini.
"Namun, masalahnya adalah cara tanam pokok jati ini yang tidak kena kerana sepatutnya ia ditanam tidak kurang dari 30-40 kaki ( sembilan meter (m)-12m) antara satu sama lain, tetapi yang ada sekarang ini ditanam lima kaki (1.5 meter) setiap pokok, maka inilah punca pokok tidak boleh tumbuh besar," katanya.
Beliau menjelaskan bahawa sudah sepatutnya pada waktu ini memasuki tempoh tuai atau 'harvest' yang mampu mengeluarkan hasil daripada pokok itu.
"Jadi cara tanam perlu diperbetul semula sebagai contoh tanaman pokok jati terbaik adalah di Langkawi kerana ia ditanam dengan jarak sesuai dan semua orang tahu kayu jati ini tinggi nilainya.
"Ranting pokok sahaja pun jika diukir jadi hulu tongkat ada harganya dan saya pernah bawa tongkat buatan Malaysia ke Amerika.
"Saya tunjuk kepada salah seorang peruncit terbesar dan dia membelek ukiran pada tongkat itu dan berminat kemudian dibuat 'trial order' sebanyak 10,000 unit, "katanya.
Tun Dr Mahathir berkata, sekiranya kerajaan negeri dalam kalangan SG4 ini sentiasa fokus dan bersungguh dalam menjana pendapatan negeri, maka industri kayu jati ini pun mampu memberi pulangan keuntungan kepada negeri.
"Apa yang penting ialah bagaimana cara kita tingkat kebolehan dan kembangkan aset sedia ada," katanya.
Dalam pertemuannya bersama Mohd Shukri dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri lain semalam, beliau mengakui ketika menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri sebelum ini, masanya agak terhad untuk melihat perancangan setiap negeri kerana tumpuannya ketika itu adalah kepada negara secara keseluruhannya.
"Masa terhad untuk lihat setiap satu negeri dan pembangunan di setiap negeri dipertanggungjawab kepada negeri dan jentera pentadbiran negeri.
"Sekarang selepas tidak lagi jadi Perdana Menteri dan dijemput menasihat SG4 ini, saya akui ada banyak masa dan boleh bantu beri tumpuan kepada hal berkait ekonomi dan pelaburan di SG4.
"Insya Allah kerjasama antara SG4 ini dapat meningkat pelaburan dan akhirnya beri manfaat kepada pembangunan dan hasilnya nanti dinikmati rakyat negeri ini," katanya.
Sumber: Berita Harian
Perlis disaran teroka projek tenaga solar - Dr M
Comments